Tuesday 27 December 2011

Menyuntik Semangat & Mengurangkan Beban Melalui Program `Back To School` Di DUN Bangi - Dorong Ke Arah Kejayaan

Dewan Cempaka PKNS, BBB, 01 Safar = 26 Disember (Isnin):


Sebagaimana pada tahun-tahun yang lepas, demikianlah sudah menjadi tradisi Adun Bangi mengadakan Program Back To School pada setiap akhir Disember bagi membantu anak-anak miskin di Dun Bangi kembali bersekolah. Demikianlah hari ini program berkenaan di adakan di Dewan PKNS, Tingkat Tiga, bangunan berkenaan. Program kali ini dianjurkan oleh Sekretariat Bangi Bandar Ilmu yang Pengarah programnya ialah saudari Nur Sabrina bt. Mohd Arip dengan kerjasama Pewaris dan Nisa` . Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga jam 12.30 tengahari itu di isi dengan Majlis Pembukaan, motivasi oleh Penceramah Jemputan yang disampaikan oleh Encik Ahmad Fuad bin Hj. Che` Abd. Razak dari Asas Insan Resources & Training, Bandar Seri Putera, Bangi. Oleh kerana Adun mempunyai program di tempat lain, maka ceramah motivasi disampaikan terlebih dahulu kepada ibu bapa dan anak-anak yang memenuhi dewan.. Saudara Ahmad Fuad bercakap tentang perlunya anak-anak diberi perhatian dari segi fizikal dengan menjaga makanan yang baik dan jauhi dari makanan tidak halal, perhatian lebih-lebih lagi dari segi mental dengan mendorong mereka rajin membaca dan mencintai ilmu pengetahuan dan menjaga dari segi emosi dan pergaulan. Anak-anak hendaklah ditanamkan sifat positif di dalam minda dan jiwa mereka, agar mereka mampu menghadapi cabaran dan alam keliling dengan penuh keyakinan dan seterusnya mencapai kejayaan.

Dalam ucapan perasmian oleh Adun Bangi, beliau mengucap syukur kepada Allah, kerana pada tahun ini menurut beliau kita dapat mengadakan sekali lagi Program Back To School. Beliau mengucap terima kasih di atas kehadiran anak-anak bersama-sama ibu bapa. Turut hadir Tuan Haji Rushdi bersama AJK Kebajikan. Serta pimpinan & AJK Pewaris dan Nisa`.Dalam ucapannya lagi , Adun menyatakan, ``Back To School adalah program tahunan Adun bagi membantu anak-anak dari keluarga miskin kembali ke Sekolah menjelang bukanya Sekolah awal Januari tahun 2012 nanti. Menurut Adun, ``Kita memberi perhatian yang tinggi dan utama aspek pendidikan di Bangi, diikuti dengan Kebajikan dan Kesejahteraan.``

Menurut Adun , tujuan mengadakan Back To School, ialah bagi membantu dan menggalakkan anak-anak dapat menghadapi pelajaran dengan selesa. Kalau Jom Shopping warga Emas kita peruntukkan sebanyak RM100/= seorang, maka bagi pelajar-pelajar Back To School juga kita beri RM100.00. Adun difahamkan, seramai 85 dari 120 pelajar yang dipaggil dapat hadir. Beliau berharap, terutama kepada ibu-bapa supaya benar-benar menggunakan peruntukan yang diberi Adun bagi kepentingan persekolahan anak-anak.Selain dari peruntukan Back To School, menurut Adun, banyak lagi skim dan insentif yang diberi Kerajaan Negeri Selangor bagi pendidikan seperti, Skim Pelajar Cemerlang, Skim Masuk Universiti, pinjaman kewangan dari Kerajaan Negeri Selangor tanpa faedah dan boleh bertukar kepada biasiswa jika keputusan pencapaian Terpuji. Menurut Adun Bangi, kita berharap pada anak-anak yang mengambil peperiksaan dan dapat mencapai keputusan cemerlang menaikkan imej Bangi Bandar Ilmu. Mereka diharapkan selepas menyambung pelajaran memberi khidmat pada agama, bangsa dan Negara.

Selepas perasmian, Adun Bangi menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar dan juga ibu bapa yang datang. Majlis diakhiri dengan bergambar beramai-ramai dan jamuan.

Sekian.

Sunday 18 December 2011

SKIM CERIA (Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Bagi Pangsapuri) Oleh Kerajaan Negeri Selangor

KONSEP

Kaedah ‘perkongsian kos’ antara Kerajaan Negeri dan pemilik berdaftar / pembeli pangsapuri seperti berikut:

a)    Rumah Pangsa Kos Rendah
       Pembahagian kos :
       -    Kerajaan Negeri                              : 80%
       -    JMB / MC / Persatuan Penduduk    :  20%

b)    Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah & Rumah Pangsa Kos Sederhana
       Pembahagian kos akan diberitahu kemudian. Pembahagian kos :
       -    Kerajaan Negeri                              : 60%
       -    JMB / MC / Persatuan Penduduk    :  40%

KELAYAKAN

a)    Pangsapuri yang mempunyai kerosakan harta bersama yang kritikal.
       Skop Kerja pembaikan yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:
        i)    membaiki bumbung
        ii)   pembentungan
        iii)   membaiki lif
        iv)   mengecat bangunan bagi bangunan yang telah luntur cat (kritikal sahaja)
        v)    membaiki/membina rumah sampah
        vi)   sistem pencegahan kebakaran.

b)   Untuk setiap pangsapuri hanya satu (1) jenis harta bersama sahaja yang dibenarkan untuk dibaikpulih.

(c)  Pangsapuri mesti mempunyai  JMB/MC/Persatuan Penduduk.

(d)  Kedudukan kewangan yang memuaskan.

PERMOHONAN
Untuk memohon skim ini pihak JMB / MC / Persatuan penduduk boleh berhubung dengan Unit Pesuruhjaya Bangunan di talian 03-8736 8375 atau email kepada azman_ismail@mpkj.gov.my, atau azhari@mpkj.gov.my, atau nadiah@mpkj.gov.my

Friday 25 November 2011

Monday 10 October 2011

Menitip Panduan Terhadap Pelajar-Pelajar Menduduki Peperiksaan


German Malaysian-Institute (GMI), BBB, 10 Zulkaedah = 08 Oktober (Sabtu):

Sudah tiga tahun Tuisyen Rakyat yang dianjurkan oleh pihak negeri berlangsung. Pada dasarnya bimbingan yang diberi terhadap pelajar-pelajar di kawasan-kawasan Dun di Selangor memberi kesan positif. Bukti dapat dilihat dari kelas-kelas Tuisyen Rakyat di Dun Bangi, makin meningkat. Penghargaan dan insentif tahunan terhadap pelajar-pelajar SPM setiap tahun menunjukkan sebahagian yang menerima insentif kecemerlangan SPM termasuk dari Kelas Tuisyen Rakyat (Tahun lepas 3 orang dari pelajar yang skor 9 A di DUN Bangi adalah dari Kelas Tuisyen Rakyat di DUN Bangi).

Pada tahun ini Program Tuisyen Rakyat khususnya di DUN Bangi terus dijalankan dan sebagaimana pada tahun-tahun yang lepas motivasi dan bengkel-bengkel persediaan menghadapi pepereiksaan di adakan. Misalnya pada hari ini Program Tuisyen Rakyat Negeri Selangor (PTRS) mengadakan Bengkel Pecutan Akhir SPM bertempat di Auditorium Utama, German Malaysian Institute (GMI), Bangi, Selangor di bawah pengendalian E-Class Training Center (M) Sdn, Bhd. Sebagai anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor & KPMI Dun Semenyih, Dusun Tua, Kajang, Bangi dan Balakong. Hadir ke Majlis Perasmian Bengkel Pecutan Akhir SPM pagi ini ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi selaku Perasmi, YB Lee Kim Sin Adun Kajang, Tuan Haji Mat Jan Penyelaras Dun Dusun Tua, Cikgu Mohd. Hamdan bin Safar dari E-Class Training Center, Penyelaras-Penyelaras dari 5 kawasan, guru-guru dan pelajar-pelajar yang kesemuanya berjumlah seramai 240 orang.

Adun Bangi dalam Ucapan Perasmian, mengucap tahniah kepada pihak Penganjur yang sekali lagi dapat mengadakan Bengkel Pecutan Akhir SPM. Beliau mengharapkan pihak pelajar memberi tumpuan terhadap kaedah-kaedah pembelajaran, terutama persediaan pada peringkat akhir menjelang menghadapi peperiksaan. Menurutnya penguasaan pelajar-pelajar terhadap bidang pelajaran yang dipelajari tidak menjamin pelajar-pelajar mencapai keputusan yang baik. Menguasai bidang pelajaran, memahami soalan dan kaedah menjawab soalan menepati apa yang dikehendaki soalan adalah penting. Perkara ini tentulah menjadi sebahagian daripada apa yang akan dibincangkan di dalam bengkel nanti. Adun difahamkan bahawa pembimbing-pembimbing yang akan mengisi bengkel pada hari ini adalah dari kalangan guru-guru berpengalaman yang pernah memeriksa kertas-kertas soalan di dalam bidang masing-masing. Oleh itu Adun berharap anak-anak akan memberi tumpuan terhadap bengkel dan membuat persediaan rapi sebelum menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula dari 14 November – 14 Disember 2011.

Adun Bangi mengingatkan kepada pelajar-pelajar harapan agar pelajar-pelajar mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan tidak saja dari ibu bapa, tetapi kerajaan negeri, bahkan Adun-Adun bagi setiap kawasan yang menganjurkan Kelas Tuisyen Rakyat. Pelajar-pelajar adalah wakil-wakil yang akan menyerlahkan kawasan Dun dan Negeri yang menyediakan peruntukan khas sebagai galakan dan insentif terhadap pelajar-pelajar Adun merasmikan bengkel dengan harapan lebih ramai mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan dan seterusnya menjadi pelajar pilihan yang akan menyambung pelajaran di dalam berbagai-bagai bidang pelajaran. Adun menyebut bahawa pemilihan GMI sebagai tempat bengkel agar memberi rangsangan dan inspirasi kepada pelajar-pelajar bersungguh-sungguh di dalam pelajaran dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran termasuk ke GMI yang canggih dan moden ini.

Sebelum dari itu YB Cikgu Lee Kim Sin, menekankan perlunya memahami teknik jawapan untuk mendapat skor dalam peperiksaan. Pelajar juga perlu melalui motivasi bagi meningkatkan prestasi peperiksaan. Beliau menggalakkan berdiskusi dan bertukar-tukar maklumat dan perbincangan melalui facebook. Cikgu Mohd Hamdan sebelumnya memaklumkan kepelbagaian pendekatan bagi meningkatkan prestasi pelajar-pelajar di dalam pelajaran seperti parenting, smart learning, Pelancaran PTRS, bengkel, pecutan akhir dan bengkel Motivasi Perdana yang akan diadakan pada 22 Oktober 2011 nanti bertempat di Stadium Melawati di Shah Alam.

Bengkel Seharian (8.00 pagi – 5.00 petang) Bersama Guru-Guru Berpengalaman menumpukan pendekatan di dalam menjawab soalan Sejarah, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Di dalam bengkel berbagai petua disampaikan. Antaranya (Petua-petua di bawah adalah petikan dari kertas disediakan oleh penganjur dengan perubahan dan penyesuaian):

Persediaan Menghadapi Pelajaran
  • Programkan peperiksaan sesuatu yang positif
  • Buat Latihan menjawab soalan tahun lalu dan soalan ramalan dalam suasana peperiksaan yang sebenar.
  • Buat peta minda – merancang jawapan peperiksaan – untuk jawapan kepada soalan peperiksaan tahun-tahun lepas dan soalan ramalan.
  • Buat contoh jawapan yang lengkap dan rujuk kepada guru untuk penilaian
  • Latih-tubi menjawab soalan peperiksaan dan ramalan dalam kumpulan.
  • Jadikan bilik studi sebagai bilik gerakan peperiksaan. Tuliskan: Matlamat, Count Down.
  • Ketahui tempat duduk dalam dewan peperiksaan – Kenalpasti rakan yang duduk di sekeliling dalam dewan peperiksaan.

Peresediaan di Malam Peperiksaan
  • Lakukan amalan kerohanian yang sewajarnya
  • Sediakan semua berkaitan yang diperlukan
  • Tidur awal

Petua Semasa di Dalam Dewan Peperiksaan
  • Baca basmalah dan salawat serta masuk dengan kaki kanan
  • Duduk dengan selesa
  • Keluarkan kad pengenalan dan slip peperiksaan
  • Baca doa penerang hati
  • Tarik nafas panjang beberapa kali
  • Lakukan penafasan pemulihan jika gemuruh
  • Senyum
  • Bisikkan pada hati agar dapat menjawab semua soalan peperiksaan
  • Dengar arahan pengawas peperiksaan dengan teliti
  • Baca arahan dalam kertas peperiksaan dengan teliti
  • Baca semua soalan subjektif dan tandakan soalan yang hendak dijawab
  • Bahagikan masa dengan saksama
  • Baca soalan 2 – 3 kali dengan teliti dan rangka jawapan
  • Dapatkan bantuan dari pengawas peperiksaan jika tidak faham soalan atau arahan
  • Elak daripada melakukan perbuatan yang mencurigakan
  • Jika buntu: Istighfar dan doa dan cuba ingat kembali fakta
  • Semak semula jawapan setelah selesai menjawab
  • Elakkan melukis di atas kertas jawapan
  • Elak menulis surat rayuan di dalam kertas jawapan
  • Berdoa sebelum kertas jawapan dikutip.

Petua Selepas Peperiksaan
  • Bersalaman dengan cikgu pengawas
  • Ucap tahniah kepada kawan-kawan
  • Elak berbincang lepas periksa
  • Ucap terima kasih dan minta maaf pada guru-guru
  • Elak melepaskan geram dengan melakukan kerosakan
  • Lupakan peperiksaan yang lepas dan fokus pada peperiksaan seterusnya
  • Doakan kejayaan diri dan rakan-rakan dalam peperiksaan yang telah berlalu
  • Buat perancangan masa cuti setelah tamat peperiksaan

Petua Untuk Ibu Bapa
  • Wujudkan keharmonian rumahtangga
  • Hiburkan anak-anak dan bagi semangat
  • Ambil cuti
  • Puasa sunat
  • Baca Al-Qur`an
  • Membanyak sadakah
  • Doakan kejayaan anak

Semoga semua di dalam Hidayah Allah dan didoakan semoga mencapai keputusan cemerlang. Insya Allah.

Sekian.

Monday 19 September 2011

Resolusi Konvensyen Masjid-Surau DUN Bangi

Percambahan Minda Konvensyen Masjid-Surau Dun Bangi

Masjid As-Salihin, Teras Jernang, 6 Ramadhan = 6 Ogos (Sabtu):

Satu Pertemuan antara Pengerusi-Pengerusi dan Wakil-Wakil Surau di Dun Bangi diadakan pagi ini di Masjid di atas dari jam 9.00 hingga 12.30 tengahari. Pertemuan dianjurkan oleh Lajnah Masjid-Surau Adun Bangi diketuai saudara Azmi Ahmad dan AJK dengan kerjasama Masjid Teras Jernang. Lebih dari 100 orang dari Masjid-Surau berjumlah 107 buah di Dun Bangi hadir. Turut hadir bersama Adun sebagai pembentang ialah Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang yang juga selaku Ahli MPKj, Tuan Haji Hanafi Nazir Masjid Jami` Kajang dan Ustaz Bashir Alias selaku Nazir Masjid Teras Jernang.

Sebelum pembentangan kertas, Adun Bangi menyampaikan peruntukan RM500 bagi setiap surau dan masjid di zon Bandar Baru Bangi, Dalam ucapan perasmian dan diikuti pembentangan Kertas Ringkas oleh Adun Bangi bertajuk ``Tradisi dan Transformasi Masjid-Surau Dalam Masayarakat Umat,` Adun menampilkan fakta-fakta berikut:


1. Masjid & Surau mempunyai pertalian yang erat dengan amalan solat dalam Islam.

Pembinaan masjid terawal di Quba` dan Masjid Nabawi di Madinah

2 Masjid dan surau adalah berfungsi sebagai institusi ibadat, pendidikan dan pentadbiran sejak zaman Rasulullah.

3. Masjid paksi bagi masyarakat. Berada di tengah-tengah kependudukan. Sekaligus menjadi institusi sosial dan kemasyarakatan.

4. Bentuk masjid dan surau di samping dipengaruhi elemen universal & seni pada peringkat umat, turut mempengaruhi faktor geografi dan alam sekitar.

5. Kini Masjid dan surau bersifat integrated sebagai pusat ibadat, pendidikan, pentadbiran, sambutan, perkahwinan, penyampaian maklumat, sukan, gotong royong, waqaf, koperasi dan sebagainya.

6. Nazir, pengerusi dan AJK masjid dan surau memainkan peranan yang penting memajukan masjid dan surau.

7. Perlu ada kerjasama antara masjid dan surau misalnya ada bank maklumat guru-guru yang mengajar, peceramah-penceramah, bahan pengajaran dan berbagai kegiatan.

8. Perlu mengusahakan dana masjid & surau bagi berbagai kegiatan termasuk yang bersifat kebajikan.

9. Perlu memikirkan cara terbaik bagi menarik golongan muda ke masjid & surau

10. Beri otonomi bagi pentadbiran dan jangan ada gangguan.

Ustaz Shafie Ngah membentangkan apa yang ada di Bangi

Bangi mempunyai 107 buah surau dan masjid
Masyarakat mempunyai kesedaran Islam yang tinggi
Fokus kepada bidang pengajaran
Mempunyai penduduk yang relatifnya kaya
Mempunyai ilmuan yang ramai.

Faktir-faktor di atas hendaklah diguna bagi memperkembangkan fungsi masjid dan surau di Bangi bagi kepentingan masyarakat.

Perbincangan menelurkan dapatan-dapatan berikut:


1.Perlu ada kursus terutama bagi imam-imam bagi membaiki bacaan (bersanad) dan meningkatkan keilmuan.

2. Perlu ada garis panduan antara politik (larangan) & non politik di masjid-surau

3. Wujudkan perkhidmatan kebersihan bagi surau dan masjid

4. Perlu diberi kefahaman etika berpakaian, khusnya bagi wanita

5.Perlu kepada kaedah pengajian tradisi berkitab agar ada panduan, bukan semata berceramah

6. Wujudkan Sekretariat bagi memajukan masjid-surau dan memantau dari segi kemajuan dan juga kelemahan

7. Perlu ada portal masjid & surau di Dun Bangi

8. Pejabat Adun dijadikan saluran maklumat

9. Kegiatan sukan hendaklah fokus kepada pembinaan ukhuwwah bukan kepada sukan dan kemenangan semata-mata.

10. Tidak setuju diberi kuasa kepada pengerusi melantik setiausaha dan bendahari. Hendaklah dilantik terus oleh ahli dalam pemilihan.

11. Cetralisekan semua pengajian di masjid-surau di Dun Bangi

12. Kategorikan masjid-surau mengikut kemampuan kewangan dan kegiatan

13. Jangan hanya tumpu pengajian peringkat tinggi sahaja, masyarakat perlu kepada pengajian asas dari segi fardu dan kifayah.

14. Perlu diberi kefahaman tentang falsafah seni termasuk seni bina Islam

15. Gunakan tenaga hijau bagi mengurangkan pembaziran dan lebih bersih.

16. Gunakan system sadaqah bagi menghimpun dana sehingga institusi berdikari seperti Universiti Azhar dan Oxford percuma dan berdikari.

17. Di Bangi terdapat dua kategori, mereka yang berpencen dan orang muda, beri tumpuan perkhidmatan kepada kedua golongan/

18. Wujudkan pengajian teratur antara masjid-surau dan jadikannya sebagai product pelancungan ilmu kepada masyarakat di luar dari Bangi datang untuk belajar, khususnya pada hujung-hujung minggu

19. Perlu ada penyelarasan dan pemantauan kelas-kelas tahfiz yang diadakan di masjid & surau di Dun Bangi

20. Jadikan Pejabat Adun Bangi sebagai Penyelaras’


Adun berpendapat pertemuan banyak menghasilkan percambahan idea yang bernas. Adun memberi jawapan sepintas lalu terhadap apa yang ditimbulkan, tapi akan diteliti lebih detail bagi mengambil tindakan dan perlaksanaan.

Terima kasih kerana hadir dan memberi sumbangan idea. Wassalam.

Terima kasih.

Friday 12 August 2011

`Sembang Santai` 13 Ogos 2011 -Sabtu


JOM!!
Sembang Santai bersama Nisa’ Serdang pada 
13 Ogos 2011- Sabtu
bermula berbuka Puasa sama, solat Magrhrib sama, solat Isyak bersama dan Solat Terawih jemaah.
saksikan Sembang Santai :
Panel Artis – Heliza & Waheeda
Moderator : Muna Izzah
Masuk PERCUMA
terbuka kepada smua golongan wanita/lelaki/ muda/remaja/belia/dewasa/kanak-kanak
jemput hadir bawa bersama-sama keluarga, 
jiran tetangga :) 

anjuran Nisa' Serdang dengan kerjasama ADUN BANGI
Penggerak Belia Tempatan  Zon 22,23 & 24

Thursday 11 August 2011

Berkunjung Menemui YB Dr. Halimah Ali Bincang Penerbitan Buku `Bangi Bandar Ilmu`


Bangunan SSAAS, Shah Alam, 10 Ramadhan = 10 Ogos (Rabu):

Sebagaimana temujanji telah dibuat seminggu sebelum ini, maka pada jam 3.00 tepat kami bertolak dari Pejabat Adun di Bandar Baru Bangi bagi menemui YB Dr. Halimah Ali Exco - Selaku Pengerusi Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan. Jangkaan kami sampai jam 4.00 petang selepas YB Dr. Halimah selesai menghadiri mesyuarat Exco. Kehadiran kami bagi membincangkan Projek Penerbitan Buku `Bangi Bandar Ilmu` yang manuskripnya 70% telah disiapkan. Penerbitannya dijangka pada akhir 2011.Sesampainya kami tepat jam 4.00 ptg. YB. Dr. Halimah sedang menunggu kami. Kami hadir seramai 5 orang selain dari Adun ialah sdr. Amir Osman sebagai Ketua Lajnah Media, Buletin dan Penerbitan Adun Bangi, Puan Nabilah bt. Ahmad dan sdri. Noor Aisyah bt. Zainuddin kedua-duanya Pentadbir di Pejabat Adun dan Sdri. Nur Sabrina bt. Mat Arip Setiausaha Sekretariat Bangi Bandar Ilmu.

Penerbitan buku `Bangi Bandar Ilmu` adalah bagi mengabadikan sejarah Pelancaran Bangi Bandar Ilmu yang dilakukan oleh YAB Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 22 Jun 2008 bertempat di KUIS. Juga bagi mengukuhkan Imej Bangi Bandar Ilmu yang cetusan idea awal dilakukan sempena Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi dari 30 Julai – 01 September 2007. Berikut dari Sambutan Ulangtahun Ketiga Periytiharan Bangi Bandar Ilmu dan Hari Ilmu pada peringkat negeri dan disambut serentak di Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi pada 26 Jun 2011, maka Sekretariat Bangi Bandar Ilmu diwujudkan berfungsi bagi mengadakan berbagai aktiviti yang memprojek dan meningkatkan Imej Bangi Bandar Ilmu – antaranya menerbitkan buku-buku. Buku Bangi Bandar Ilmu adalah merupakan buku sulung bakal diterbitkan oleh Sekretariat.

Pertemuan dengan YB. Dr. Halimah adalah membincangkan penerbitan buku Bangi Bandar Ilmu ini yang bukan saja sebagai dokumen bagi Bangi Bandar Ilmu, tetapi juga mengukuhkan sama Selangor sebagai Hub Ilmu. Disamping perbincangan mengenai Bangi Bandar Ilmu juga turut dibawa sama untuk perbincangan ialah Peraduan Mengarang Esei Peringkat Tinggi dan Peringkat Menengah dan Peraduan Menulis Puisi yang dilancarkan di Tasik Cempaka Bandar Baru Bangi pada 26 Jun 2011 yang lepas yang tarikh tutup bagi semua peraduan ini ialah pada akhir Disember 2011.

YB. Dr. Halimah nampaknya amat berminat dengan penerbitan Bangi Bandar Ilmu dan beliau berulang-ulang membelek dan meneliti manuskrip yang dibawa bagi membuktikan bahan berkenaan telah wujud dan kehadiran kami juga mengemukakan kepada YB Dr. Halimah surat menjemput bagi beliau menulis kata-kata aluan bagi buku tersebut. Beliau mengemukakan soalan, `Mengapa tebal sangat ?` - kami jangka setebal 300 halaman. Kami maklumkan bahawa kandungan buku ini bukan setakat dokumen pelancaran Bangi Bandar Ilmu, tetapi melibatkan jua Konsep Bandar Ilmu, diisikan kertas-kertas seminar berhubung dengan Bangi Bandar Ilmu, kertas-kertas yang berhubung dengan Sambutan 30 tahun Bandar Baru Bangi. Turut diisikan dengan Peranan Masjid-Surau sebagai Pendukung Ilmu, Institusi Pengajian di Bandar Baru Bangi baik dari segi universiti, Pusat Penyelidikan dan Tokoh_tokoh Ilmuan yang lahir dari Bandar Baru Bangi, sumbangan idea, falsafah pemikiran tokoh-tokoh yang menjadi identiti mereka yang memberi sumbangan keilmuan sebagai `Pemikiran Bangi` atau `Aliran Bangi. Di dalamnya juga akan membicarakan tentang perkembangan Bangi dari segi fizikal sebagai segi tiga emas antara Putera Jaya, Kuala Lumpur dan Seremban. Dengan pembicaraan aspek-aspek sedemikian menjadikan buku ini kelak lebih tebal. Penerbitan buku `Bangi Bandar Ilmu` amat disetujui oleh YB Dr. Halimah. Menurutnya,
``YAB Tan Sri Dato` Seri Menteri Besar tentu amat bergembira dengan penerbitan buku ini, kerana beliau ialah tokoh yang terlibat dengan pengisytiharan Bangi Bandar Ilmu pada 22 Jun 2008 itu.`` Menurut YB. Dr. Halimah, ``Buku Bangi Bandar Ilmu, bukan saja menjadi dokumen penting bagi Bangi, tetapi juga sebagai satu hasil yang diterbitkan semasa Selangor di bawah pemerintahan Pakatan Rakyat,`` katanya.

Perkara penting kehadiran kami menemui YB Dr. Halimah, ialah dana bagi penerbitan buku Bangi Bandar Ilmu dan buku-buku hasil dari Pertandingan Mengarang Esei pada peringkat Tinggi dan Menengah – juga pertandingan menulis puisi yang semuanya tentang atau yang ada hubungan dengan Bangi Bandar Ilmu serta hadiah-hadiah. Dana dan kos bagi kedua-dua tersebut agak tinggi. Walau bagaimana YB Dr. Halimah minta diberi perhatian terhadap penerbitan buku `Bangi Bandar Ilmu` terlebih dahulu. Adapun bagi Peraduan Menulis dan Penerbitan boleh dibincangkan kemudian. Lagi pula menurutnya, ``Adun boleh menggunakan peruntukan Adun sendiri.``

Bagi kos penerbitan buku `Bangi Bandar Ilmu` kata YB Dr. Halimah,
`Butir kos perlu dikemukakan secara detail untuk diangkat ke atas.` Sejumlah peruntukan disetujui oleh beliau`

Pertemuan berlangsung lebih kurang sejam dan pada jam 5.00 petang kami mmemohon diri dan mengucapkan terima kasih kepada YB Dr. Halimah di atas kesudian beliau menemui kami, bahkan bersetuju dengan jumlah peruntukan permulaan bagi menerbitkan buku:

Bangi Bandar Ilmu`

Sekian.

Monday 1 August 2011

Pengisian Surau Ar-Raudhah, Pekan Bangi

A.TAZKEERAH RAMADHAN

a. 8 OGOS 2011 (ISNIN)
OLEH : US SAUKI (PONDOK TAHFIZ KELANTAN)

b. 10 OGOS 2011 (RABU)
OLEH : US YUSMI HANIF (SMA BBST)

c. 12 OGOS 2011 (JUMAAT)
OLEH: US WAN NOH WAN HAMAD (SMAP)

d. 13 OGOS 2011 (SABTU)
OLEH: US NORRIZAN (UNITEN)

e. 14 OGOS 2011 (AHAD)
OLEH: US RADHI MOHD REJAB (KUIS)

B.QIAMULLAIL

TARIKH: 13 OGOS 2011 (SABTU); JAM : 3.30 PAGI
PEMBIMBING: US IMAM BAHARI (MASJID JAMEK SG MERAB)

C.KULIAH SUBUH

1.TARIKH: 13 OGOS 2011 (SABTU)
PENCERAMAH: US IMAM BAHARI (MASJID JAMEK SG MERAB)

2.TARIKH: 14 OGOS 2011 (AHAD)
PENCERAMAH: US JASMAN ALHAFIZ (MAAHAD TAHFIZ BDR SERI PUTRA)

D.KULIAH DHUHA
TARIKH: 13 OGOS 2011 (SABTU); JAM : 8.30 PAGI
PEMBIMBING: PROF MADYA DR US HASNAN KASAN (UKM)

E.MAJLIS BERBUKA PUASA
TARIKH: 14 OGOS 2011 (AHAD)

INFAQ/DERMA AKTIVITI RAMADHON

Pihak JKuasa Surau Ar Raudhah mengalu-alukan sumbangan derma untuk melaksanakan aktiviti-aktiviti sepanjang Ramadhon.

Derma tuan/puan boleh disalurkan kepada
Bendahari (Tn Hj Khalid bin Harith) / AJK surau
atau bank-in ke akaun berikut :

SURAU AR RAUDHAH
BANK MUAMALAT NO:1207 0005523 715

Sunday 24 July 2011

Ceramah Ramadhan Di Pasar? Menarik & Unik!

Pasar BBB, Seksyen Satu, 21 Sya`ban = 23 Julai (Sabtu):


Ceramah Ramadhan, biasanya dilakukan di masjid dan surau atau di majlis-majlis yang dianggap terhormat dengan penceramah dan pendengar berpakaian sopan, sesuai dengan majlis agama yang suci dan dihormati.Tapi pagi ini realitinya Ceramah Ramadhan yang diadakan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan kerjasama Persatuan Peniaga-peniaga Pasar BBB dan Adun Bangi diadakan betul-betul di tengah Pasar Basah BBB dengan bahagian depan orang ramai sedang menikmati sarapan pagi dan juga membeli makanan pagi yang dijual di warung-warung berkenaan. Bahagian belakang peniaga-peniaga sayur, ikan dan daging dan pembeli-pembeli sedang giat membeli. Sebelah kanan dan kiri juga orang ramai sedang berurusan menjual dan membeli.
Ceramah di pasar, bukan sesuatu yang baru. Beberapa siri ceramah sedemikian pernah dilakukan oleh Pejabat Adun di luar pagar pasar berhadapan dengan kedai. Sambutan boleh dikatakan memuaskan. Begitu juga Persatuan Penduduk BBB juga mengadakan ceramah seperti menyambut Ramadhan, tetapi dilakukan di Sekolah Agama Lepai. Tapi yang hadir orang yang sama. Kebetulan pada masa ini Sekolah Agama Lepai sedang dalam pembinaan, maka cadangan mengadakan ceramah di Pasar BBB mendapat sokongan dari Persatuan Peniaga-peniaga Pasar BBB dan pihak Adun, maka sebab itu mulai jam 9.00 pagi hari ini (Sabtu) hari yang ramai dengan pengunjung-pengunjung ceramah diadakan. Kebiasaan tempat ceramah dipilih di pinggir pasar, kerana tidak mau mengganggu kegiatan di Pasar. Tapi kali ini pemilihan tempat dilakukan secara agresif di bawah anjung jalan masuk utama ke pasar basah dan berdepan dengan gerai-gerai utama.

Pemilihan penceramah berhubung dengan Ramadhan adalah bersesuaian dengan watak yang diperlukan oleh orang ramai di pasar yang berbagai watak, pakaian dan pembawaan.

Ustaz yang dijemput khas pada pagi ini ialah Ustaz Zulkifli Muhammad dari Ampang, seorang Pendakwah Bebas dan mempunyai Sekolah Tahfiz yang walaupun berbaju Melayu dan berkupiah, tetapi berwatak rock dan rugged dengan berseluar panjang yang banyak poket hingga ke betis.Mereka yang lain ada yang berjubah, tetapi kebanyakan berpakaian santai biasa sebagai orang yang datang ke pasar.. Tamu ke majlis yang duduk dikerusi-kerusi yang didatangkan selain dari Adun Bangi ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Tuan Haji Ghazali Abbas Pengerusi Surau An-Nur yang juga Timbalan YDP Persatuan Penduduk BBB yang mempengerusikan majlis, saudara Yusri Junid Setiausaha Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar BBB, kalangan muslimin dan beberapa muslimat yang turut hadir sebagai tetamu.

Saudara Yusri sebagai Tuan Rumah diberi penghormatan berucap mengalu-ngalukan kehadiran Peceramah Ustaz Zulkifli Muhammad, tamu-tamu dan orang ramai. Dr. Tajul Ariffin Noordin menyifatkan ceramah yang diadakan di pasar pada pagi ini lebih menarik dari ceramah seumpamanya yang diadakan di Sekolah Agama Lepai.dan mencadangkan agar ceramah seperti hari ini diadakan bukan setakat kehadiran Ramadhan, tapi wajar lebih kerap diadakan pada masa-masa bersesuaian.

Adun Bangi menekankan, bahawa ceramah yang diadakan di pasar pagi ini dan ceramah-ceramah yang pernah diadakan adalah bagi mengukuhkan pengiktirafan Bangi Bandar Ilmu. Biasanya ilmu didatangi, tapi kini ilmu mendatangai. Ceramah ini juga diadakan sempena kehadiran Ramadhan sebagai membesar dan menghidup syiar Ramadhan. Ceramah diharap dapat menghangat dan mengingatkan kita terhadap panduan dan amalan Ramadhan. Ceramah yang diadakan bukan untuk mengganggu aktiviti perniagaan, tetapi mempromosi. Diharap ceramah ini menjadi daya tarikan kepada kehadiran pembeli-pembeli sambil mendengar ceramah yang disampaikan. Sebenarnya adalah menjadi hasrat kita mau mempromosi dan memajukan perniagaan di pasar ini agar dapat menandingi perniagaan-perniagaan di pasar-pasar raya yang makin hampir menyerang peniaga-peniaga seperti Warta, Bintang dan kini Econ-Save. Terbaru ada permohonan dari TESCO untuk masuk ke BBB, kita dan Persatuan Penduduk menentang bagi menjaga peniaga-peniaga kecil di pasar dapat hidup. Tetapi pihak peniaga-peniaga melalui persatuan hendaklah senantiasa berfikir bagi menarik pembeli-pembeli antaranya barang jualan yang segar, berpatutan, jujur dan layanan yang memuaskan.

Ustaz Zulkifli Penceramah jemputan memuji tindakan AJK yang membawa ilmu ke pasar yang mensuasanakan tempat membeli belah dengan ilmu. Mereka yang sedang membeli ikan, daging, sayur dan makanan untuk jasmani dibekalkan kepada mereka bersama makanan rohani. Beliau menyebut tentang maksud Hadith Nabi tentang siapa mahukan dunia perlukan ilmu, siapa mahukan akhirat dengan ilmu dan siapa yang mau kedua-duanya juga dengan ilmu. Budaya ilmu yang dibawa turun ke tengah kehidupan masyarakat ditengah pasar menurut Ustaz Zulkifli adalah budaya yang juga dilakukan di Kelantan dalam mana Tok Guru Nik Aziz mengajar di tengah Bandar Kota Bharu dan orang ramai mendengar pengajarannya di jalan, di pasar dan pusat-pusat perniagaan, bahkan mereka berhenti di jalan-jalan, di kaki lima kedai dan di pinggiran mendengar pengajaran.

Ceramah di Pasar Bandar Baru Bangi pagi ini juga nampaknya menarik perhatian pendengar. Walaupun penganjur tidak meminta semua pihak menghentikan kegiatan dari menjual beli dan makan minum di warung-warung, tapi tertarik kepada ceramah Ustaz Zulkifli pengunjung-pengunjung seolah-seolah terpegun dan menghentikan kegiatan mereka. Ada yang terus duduk di kerusi-kerusi, ada yang terus berhenti dan berdiri mengarah kea rah penceramah. Ada yang merapatkan diri ke tempat ceramah dan antara peniaga-peniaga mengangkut kerusi-kerusi di warung-warung mereka ke keliling tempat ceramah. Wanita-wanita juga sama hadir mendengar dan duduk bersebelahan penceramah.

Ceramah Ustaz Zul mempunyai tarikan tersendiri dengan gayanya yang santai dan lucu dan kadang-kadang beliau berlagu dan menyanyi.

Tentang Ramadhan katanya bulan istimewa yang terakam keistimewaannya dalam Al-Qur`an yang menyebut bahawa pada bulan tersebut diturunkan Al-Qur`an. Berhubung dengan Ramadhan ini beliau menyanyi:

Ramadhan menjelang datang
Sambutlah dengan keikhlasan
Bagai menyambut ketibaan
Yang dicinta penuh sayang
Marhaban ya Ramadhan

Berhubung dengan Ramadhan kadang-kadang orang yang memang persiapkan diri dan belajar sebelumnya bagi menunaikan Ramadhan sebaik mungkin terhalang oleh gangguan-gangguan. Menurutnya negeri kita amat banyak dengan berbagai jenis makanan, terutama di bulan Ramadhan. Kalau di Jepun hanya beberapa jenis makanan seperti suci (ikan mentah), di tempat kita berpuluh bahkan beratus jenis juadah, kuih dan makanan termasuklah yang pelik-pelik seperti onde-onde, telinga kering, cakar ayam, kayu buruk, tahi itik, badak berendam dan berbagai-bagai lagi. Jika di rumah orang perempuan habis masa memasak, jika ke pasar dan warung tawaf mengelilingi kuih dan makanan menyebabkan tidak berlaku konsentrasi terhadap ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain yang patut diberi keutamaan.

Ustaz Zul memetik maksud Hadith tentang siapa yang menunaikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kewaspadaan, maka diampun dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya. Tetapi menurutnya sebaik separuh Ramadhan jiwa dan sentimental mereka yang menunaikan Ramadhan diganggu dengan lagu-lagu sentimental dan sedih seperti mengingatkan kepada yang dicintai lantas beliau menyanyi lagi Oh Fatimah oleh A. Ramli yang menjadikan hadirin ketawa, bahkan menurutnya semakin Ramadhan bergerak ke hujung dendang-dendang lagu hariraya mulai berkumandang di udara, seperti Dendang Perantau oleh P. Ramli, Hariraya oleh Fazidah Joned. Ketupat dan Rendang oleh Saloma dan berbagai lagu lagi yang mengganggu emosi dan konsentrasi mereka yang sedang menunaikan ibadat Ramadhan dan hati mereka mulai tidak tenteram mengingatkan kampong dan hilang tumpuan kepada Ramadhan.

Ramadhan sepatutnya ditunaikan dengan sepenuh jiwa dan penuh ihtisab sebagaimana sahabat-sahabat berperang Badar pada bulan Ramadhan, tetapi kita bukan masuk berperang, tetapi tewas dengan peperangan nafsu makan. Beliau juga menyebut persediaan Perang Khandak yang kerja-kerja menggali parit keliling Madinah juga dilakukan pada bulan Ramadhan dan Rasulullah berdoa secara puisi terhadap orang Ansar dan Muhajirin. Tetapi kita berperang dengan mata yang lebih banyak mendorong mata tidur dari berjaga untuk beribadat, solat, membaca Al-Qur`an, qiyamullail, tahajjud dan sebagainya. Jika siang menurutnya lebih terdorong kepada melihat filen-filem Hindustan dari menumpukan diri kepada tadarrus Al-Quran lantas beliau menyanyi lagi Hindustan penuh konsentrasi dan lengkap. Sebaik habis menyanyi beliau mengatakan beliau meminati sebutan dan lagu, tapi tak tahu apa maksudnya lagu!

Sebagaimana normal pada bulan Ramadhan antara ibadat khusus pada bulan ini ialah Solat Tarawih. Beliau mengkritik imam-imam yang tidak memenuhi bacaan secara cergas dan elok, tetapi lembik dan mengantuk hingga menjadikan makmun lemah dan turut mengantuk. Beliau juga mengkritik solat tarawih yang dilakukan secara merempet dan express. Bagi beliau lebih baik bersolat tarawih lapan rakaat secara sempurna dari merempet dan ekpress untuk mencukupkan dua puluh rakaat. Beliau meminta supaya amalan puasa nanti hendaklah ditunaikan sesempurna yang mungkin agar kita dapat ganjaran sempurna dari kehadaran Ramadhan al-Mubarak. Ustaz Zulkifli menamatkan ceramahnya dalam masa 45 minit dengan gaya yang menarik, diselang seli dengan gurauan, sindirin, nyanyian, nasihat dan panduan. Gaya ceramah yang dibawanya sesuai dengan masyarakat awam yang lokasinya adalah di Pasar !

Sekian.

Sunday 26 June 2011

Sejenak Ke Arah Membudayakan Diri Dengan Membaca; Peraduan Mengarang Esei Dan Puisi Bangi Bandar Ilmu Dilancarkan


Tasik Cempaka, BBB, 24 Rajab = 26 Jun (Ahad):

Bandar Baru Bangi hari ini secara serentak sama dengan pihak negeri di Shah Alam – memperuntukkan masa sejenak bagi peserta Membudayakan Diri Dengan Membaca bermula dari jam 10.45- 11.00 pagi bertempat di pinggiran Tasik Cempaka. Peserta membaca bahan yang diedarkan oleh Penganjur iaitu Sekretariat Bangi Bandar Ilmu Adun Bangi, Pejabat Daerah dan Pihak Perpustakaan Hulu Langat. Hadir bersama ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Puan Norfaezah binti Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), En. Anuar Akasah dari Perpustakaan Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, wakil-wakil agensi dan orang ramai.

Sebelum dari tiba jam 10.45 Adun Bangi Melancarkan Peraduan Mengarang Esei Dan Puisi. Peraduan ini sempena Sambutan 3 Tahun Pengisytiharan Bangi Bandar Ilmu yang dilakukan oleh Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 22.6,2008 bertempat di KUIS. Peraduan Mengarang melibatkan tiga kategori:

1) Mengarang esei pada peringkat tinggi panjangnya antara 5,000 – 6,000 perkataan
2) Mengarang esei peringkat Menengah, panjangnya antara 1.500 – 2,000 perkataan
3) Menulis puisi (Pantun, Sajak, Syair dan sebagainya).

a) Esei Peringkat Tinggi bersifat ilmiah, menggunakan rujukan adalah lebih baik: Tajuk-tajuk panduan adalah seperti berikut:

1. Bangi Bandar yang membangun berpaksikan pusat pengajian dengan masyarakatnya berbudaya keilmuan.
2. Bangi Bandar Universiti: Realiti dan Harapan
3. Peranan pelbagai agensi dan institusi di sekitar Bangi bagi membina imej Bangi Bandar Ilmu
4. Bangi masih belum layak diiktiraf sebagai Bandar Ilmu
5. Kegiatran dan aktiviti bagi pengisian Bangi Bandar Ilmu
6. Industri keilmuan menjana ekonomi
7. Program dan aktiviti tahunan bagi kegiatan keilmuan di Bangi
8. Konsep Bandar Ilmu/Universiti di luar Negara sebagai panduan bagi Bangi Bandar Ilmu.
9. Melahirkan pemikir, ilmuan, budayawan dan pemimpin di Bangi
10. Memupuk masyarakat berilmu di Bangi sebagai Bandar bagi Negara Sempurna (Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur).

b) Judul-judul bagi kategori Peringkat Menengah

1) Bangi Bandar Sejahtera, aman, berilmu dan berkebajikan.
2) Meningkatkan kualiti hidup melalui institusi kekeluargaan
3) Peranan surau dan masjid di taman perumahan kami di Bangi
4) Tempat-tempat istimewa di Bangi
5) Kerjaya ibu bapa saya adalah cabaran bagi saya.
6) Minat/hobi dan aktiviti di luar masa Sekolah saya
7) Peranan Golongan muda bagi pengisian Bangi Bandar Ilmu
8) Memupuk keharmonian di kalangan penduduk Bangi
9) Sekiranya dilantik sebagai pemimpin di Bangi saya akan …
10) Bangi pada tahun 2021

c) Puisi (Pantun, Sajak, syair dan sebagainya) – temanya:

1) Kecintaan pada Allah dan Rasul
2) Berkaitan dengan Bangi Bandar Ilmu
3) Kecintaan pada Ilmu
4) Kecintaan pada Alam
5) Kecintaan pada keharmonian

Hadiah Untuk semua kategori

Pemenang Tinggi Menengah Puisi

Pertama RM5,000 RM1,000 RM1.000
Kedua RM4,000 RM800 RM800
Ketiga RM3,000 RM500 RM500
Saguhati RM1000 RM100 RM100

(Penerima hadiah juga akan dikurniakan Sijil Penyertaan)

Syarat Peraduan

1) Terbuka kepada warga Negara Malaysia
2) Semua karya mestilah asli dan dalam bahasa Melayu
3) Setiap hasil tulisan mestilah dihantar dalam `hardcopy dan soft Copy
4) Setiap karya mestilah disertakan, nama, alamat, No. Kad Pengenalan serta no telefon.
5) Esei adalah berdasarkan kepada satu tajuk panduan pilihan yang telah disenaraikan
6) Setiap penyertaan mestilah menggunakan format borang penyertaan yang disediakan
7) Tarikh Tutup semua peraduan adalah pada 31 Disember 2011.
8) Semua hasil penyertaan adalah menjadi hakmilik penganjur
9) Keputusan panel hakim adalah muktamad. Hanya karya yang memenuhi mutu yang telah ditetapkan layak menerima sebarang hadiah
10) Semua karya hendaklah dihantar ke Pejabat Adun Bangi atau melalui email - drshafien26@gmail.com.
11) Karya yang terpilih akan diterbitkan dalam bentuk buku
12) Sebarang persoalan bolehlah menghubungi:

Pejabat Adun Bangi, No. 8 Jln ¼ , Seksyen satu, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Tel: 03: 89250891 atau hubungi Nabilah – 0132845497, Aisyah 0137017920

Selepas pelancaran pertandingan mengarang dan membaca lima belas minit Adun Bangi diiringi

Puan Nurfaezah menarik tali bagi memaparkan poster Bangi Bandar Ilmu dan Pelancaran Peraduan Mengarang seterusnya menandatangani postar berkenaan.

Sekian.

Friday 24 June 2011

Kata-kata aluan MB Selangor Sempena Perasmian Pelancaran Bangi Bandar Ilmu

SUMBER : BLOG YB DR SHAFIE ABU BAKAR
 
Ucapan Perasmian Pelancaran Bangi Bandar Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah....
Waasolatuwasslamuala asyrafil ambiyai wal mursalin Waala alihi wasahbihi ajma'in....

Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berhormat Dr. Halimah Ali, Ahli Mesyuatrat Kerajaan Negri Selangor
Yang Berhormat Dr. Shafie Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kawasan bangi
Ahli-ahli Yang Berhormat
Yang Berbahagia Dato Adanan Isman, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Dato-dato, datin-datin
tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Pertama-tamanya, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi nikmat kepada kita, dapat bertemu dalam majlis perasmian pelancaran bangi Bandar Ilmu pada pagi ini.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dr. Shafie Abu Bakar yang telah mengilhamkan inisiatif ini iaitu mahu menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian;
Usaha yang dilakukan ini sebenarnya sangat bertepatan dengan matlamat dan cita-cita Kerajaan Negeri Selangor sendiri. YB berhasrat menjadikan Selangor sebagai hub ilmu.
Baru-baru ini exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, iaitu Yang Berhormat Dr. Halimah Ali, kerajaan negeri baru-baru ini telah memulakan program mennjejaki para ilmuan di seluruh negeri Selangor. Program ini dinamakan "jejak ilmuan."
Program jejak ilmuan ini ialah mencari dan menjejaki para ilmuan terbilang di seluruh negeri Selangor ini bagi membentuk suatu data-base ilmuan, dengan tujuan untuk memastikan para sarjana dan ilmuan diletakkan di tempat yang mulia, dipandang tinggi dan dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda hari ini.
Oleh yang demikian, pelancaran Bangi Bandar Ilmu pada hari ini sangat bertepatan dengan hasrat dan cita-cita kerajaan negeri tersebut. Dengan usaha-usaha murni seperti ini, baik yang dilaksanakan di peringkat negeri ataupun di peringkat DUN-DUN, saya percaya rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor akan mendapat rahmat dan hikmat kewujudan para ilmuan semua.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Ilmu sangat penting dalam kehidupan, tidak kira dalam era mana kehidupan itu, lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan ini. Ini kerana dengan ilmulah manusia boleh maju dan mencipta lebih banyak pembaharuan di atas muka bumi ini bagi memenuhi maksud "Khalifah fi al-Ard." Betapa besarnya peranan ilmu, begitulah juga besarnya peranan para ilmuan. Tanpa mereka siapalah kita semua. Sebab itu Allah SWT telah berfirman di dalam surah az-Zumar ayat 9 yang bermaksud' "Katakanlah; apakah sama antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu..." Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya; "Sesiapa yang mahukan kehidupan dunia maka ia mesti berilmu, sesiapa yang mahukan kehidupan Akhirat dia mesti berilmu, dan sesiapa yang mahukan kehidupan kedua-duanya sekali dia mesti berilmu."


Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Saya yakin kita semua sangat gembira sekiranya Bangi boleh memimpin dalam memertabatkan ilmu dan para ilmuan. Bangi mempunyai prasarana yang baik bagi menjadikannya benar-benar Bandar Ilmu kerana Bangi berada di persekitaran yang baik dan kondusif serta dikelilingi oleh banyak institusi pengajian tinggi yang tersohor. Bangi bukan sahaja dihuni oleh ramai para ilmuan, malah sarat dengan pakar-pakar dalam pelbagai bidang ilmu, baik di peringkat tempatan mahupun peringkat antarabangsa. Sebagai Bandar Ilmu, Bangi mesti realistik. Oleh itu, sebelum masyarakat luar menikmati ilmu yang ada di Bangi ini, masyarakat setempat mesti terlebih dahulu mendapat nikmat limpahan ilmu Bangi ini.


Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Saya percaya Yang Berhormat Dr. Shafie Abu bakar mampu merealisasikan cita-cita murni ini, sebab beliau memangterkenal sebagai tokoh masyarakat yang cintakan ilmu dan budaya, serta sangat rapat dengan semua lapisan masyarakat di segenap peringkat. Buat akhirnya, sekali lagi saya dan Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat ADUN Bangi dan Ahli Jawatankuasa atas inisiatif menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Saya berdoa, mudah-mudahan ianya berjalan lancar. Dengan ucapan ini, saya doa semoga usaha menjadikan Bangi Bandar Ilmu ini sebagai Bandar Ilmu menjadi kenyataan dan dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, dengan ini saya merasmikan program Bangi Bandar Ilmu. Sekian terimakasih. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.