Monday 10 October 2011

Menitip Panduan Terhadap Pelajar-Pelajar Menduduki Peperiksaan


German Malaysian-Institute (GMI), BBB, 10 Zulkaedah = 08 Oktober (Sabtu):

Sudah tiga tahun Tuisyen Rakyat yang dianjurkan oleh pihak negeri berlangsung. Pada dasarnya bimbingan yang diberi terhadap pelajar-pelajar di kawasan-kawasan Dun di Selangor memberi kesan positif. Bukti dapat dilihat dari kelas-kelas Tuisyen Rakyat di Dun Bangi, makin meningkat. Penghargaan dan insentif tahunan terhadap pelajar-pelajar SPM setiap tahun menunjukkan sebahagian yang menerima insentif kecemerlangan SPM termasuk dari Kelas Tuisyen Rakyat (Tahun lepas 3 orang dari pelajar yang skor 9 A di DUN Bangi adalah dari Kelas Tuisyen Rakyat di DUN Bangi).

Pada tahun ini Program Tuisyen Rakyat khususnya di DUN Bangi terus dijalankan dan sebagaimana pada tahun-tahun yang lepas motivasi dan bengkel-bengkel persediaan menghadapi pepereiksaan di adakan. Misalnya pada hari ini Program Tuisyen Rakyat Negeri Selangor (PTRS) mengadakan Bengkel Pecutan Akhir SPM bertempat di Auditorium Utama, German Malaysian Institute (GMI), Bangi, Selangor di bawah pengendalian E-Class Training Center (M) Sdn, Bhd. Sebagai anjuran bersama Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan Negeri Selangor & KPMI Dun Semenyih, Dusun Tua, Kajang, Bangi dan Balakong. Hadir ke Majlis Perasmian Bengkel Pecutan Akhir SPM pagi ini ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi selaku Perasmi, YB Lee Kim Sin Adun Kajang, Tuan Haji Mat Jan Penyelaras Dun Dusun Tua, Cikgu Mohd. Hamdan bin Safar dari E-Class Training Center, Penyelaras-Penyelaras dari 5 kawasan, guru-guru dan pelajar-pelajar yang kesemuanya berjumlah seramai 240 orang.

Adun Bangi dalam Ucapan Perasmian, mengucap tahniah kepada pihak Penganjur yang sekali lagi dapat mengadakan Bengkel Pecutan Akhir SPM. Beliau mengharapkan pihak pelajar memberi tumpuan terhadap kaedah-kaedah pembelajaran, terutama persediaan pada peringkat akhir menjelang menghadapi peperiksaan. Menurutnya penguasaan pelajar-pelajar terhadap bidang pelajaran yang dipelajari tidak menjamin pelajar-pelajar mencapai keputusan yang baik. Menguasai bidang pelajaran, memahami soalan dan kaedah menjawab soalan menepati apa yang dikehendaki soalan adalah penting. Perkara ini tentulah menjadi sebahagian daripada apa yang akan dibincangkan di dalam bengkel nanti. Adun difahamkan bahawa pembimbing-pembimbing yang akan mengisi bengkel pada hari ini adalah dari kalangan guru-guru berpengalaman yang pernah memeriksa kertas-kertas soalan di dalam bidang masing-masing. Oleh itu Adun berharap anak-anak akan memberi tumpuan terhadap bengkel dan membuat persediaan rapi sebelum menghadapi peperiksaan SPM yang akan bermula dari 14 November – 14 Disember 2011.

Adun Bangi mengingatkan kepada pelajar-pelajar harapan agar pelajar-pelajar mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan tidak saja dari ibu bapa, tetapi kerajaan negeri, bahkan Adun-Adun bagi setiap kawasan yang menganjurkan Kelas Tuisyen Rakyat. Pelajar-pelajar adalah wakil-wakil yang akan menyerlahkan kawasan Dun dan Negeri yang menyediakan peruntukan khas sebagai galakan dan insentif terhadap pelajar-pelajar Adun merasmikan bengkel dengan harapan lebih ramai mencapai kecemerlangan di dalam peperiksaan dan seterusnya menjadi pelajar pilihan yang akan menyambung pelajaran di dalam berbagai-bagai bidang pelajaran. Adun menyebut bahawa pemilihan GMI sebagai tempat bengkel agar memberi rangsangan dan inspirasi kepada pelajar-pelajar bersungguh-sungguh di dalam pelajaran dan bercita-cita untuk menyambung pelajaran termasuk ke GMI yang canggih dan moden ini.

Sebelum dari itu YB Cikgu Lee Kim Sin, menekankan perlunya memahami teknik jawapan untuk mendapat skor dalam peperiksaan. Pelajar juga perlu melalui motivasi bagi meningkatkan prestasi peperiksaan. Beliau menggalakkan berdiskusi dan bertukar-tukar maklumat dan perbincangan melalui facebook. Cikgu Mohd Hamdan sebelumnya memaklumkan kepelbagaian pendekatan bagi meningkatkan prestasi pelajar-pelajar di dalam pelajaran seperti parenting, smart learning, Pelancaran PTRS, bengkel, pecutan akhir dan bengkel Motivasi Perdana yang akan diadakan pada 22 Oktober 2011 nanti bertempat di Stadium Melawati di Shah Alam.

Bengkel Seharian (8.00 pagi – 5.00 petang) Bersama Guru-Guru Berpengalaman menumpukan pendekatan di dalam menjawab soalan Sejarah, Matematik, Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu. Di dalam bengkel berbagai petua disampaikan. Antaranya (Petua-petua di bawah adalah petikan dari kertas disediakan oleh penganjur dengan perubahan dan penyesuaian):

Persediaan Menghadapi Pelajaran
  • Programkan peperiksaan sesuatu yang positif
  • Buat Latihan menjawab soalan tahun lalu dan soalan ramalan dalam suasana peperiksaan yang sebenar.
  • Buat peta minda – merancang jawapan peperiksaan – untuk jawapan kepada soalan peperiksaan tahun-tahun lepas dan soalan ramalan.
  • Buat contoh jawapan yang lengkap dan rujuk kepada guru untuk penilaian
  • Latih-tubi menjawab soalan peperiksaan dan ramalan dalam kumpulan.
  • Jadikan bilik studi sebagai bilik gerakan peperiksaan. Tuliskan: Matlamat, Count Down.
  • Ketahui tempat duduk dalam dewan peperiksaan – Kenalpasti rakan yang duduk di sekeliling dalam dewan peperiksaan.

Peresediaan di Malam Peperiksaan
  • Lakukan amalan kerohanian yang sewajarnya
  • Sediakan semua berkaitan yang diperlukan
  • Tidur awal

Petua Semasa di Dalam Dewan Peperiksaan
  • Baca basmalah dan salawat serta masuk dengan kaki kanan
  • Duduk dengan selesa
  • Keluarkan kad pengenalan dan slip peperiksaan
  • Baca doa penerang hati
  • Tarik nafas panjang beberapa kali
  • Lakukan penafasan pemulihan jika gemuruh
  • Senyum
  • Bisikkan pada hati agar dapat menjawab semua soalan peperiksaan
  • Dengar arahan pengawas peperiksaan dengan teliti
  • Baca arahan dalam kertas peperiksaan dengan teliti
  • Baca semua soalan subjektif dan tandakan soalan yang hendak dijawab
  • Bahagikan masa dengan saksama
  • Baca soalan 2 – 3 kali dengan teliti dan rangka jawapan
  • Dapatkan bantuan dari pengawas peperiksaan jika tidak faham soalan atau arahan
  • Elak daripada melakukan perbuatan yang mencurigakan
  • Jika buntu: Istighfar dan doa dan cuba ingat kembali fakta
  • Semak semula jawapan setelah selesai menjawab
  • Elakkan melukis di atas kertas jawapan
  • Elak menulis surat rayuan di dalam kertas jawapan
  • Berdoa sebelum kertas jawapan dikutip.

Petua Selepas Peperiksaan
  • Bersalaman dengan cikgu pengawas
  • Ucap tahniah kepada kawan-kawan
  • Elak berbincang lepas periksa
  • Ucap terima kasih dan minta maaf pada guru-guru
  • Elak melepaskan geram dengan melakukan kerosakan
  • Lupakan peperiksaan yang lepas dan fokus pada peperiksaan seterusnya
  • Doakan kejayaan diri dan rakan-rakan dalam peperiksaan yang telah berlalu
  • Buat perancangan masa cuti setelah tamat peperiksaan

Petua Untuk Ibu Bapa
  • Wujudkan keharmonian rumahtangga
  • Hiburkan anak-anak dan bagi semangat
  • Ambil cuti
  • Puasa sunat
  • Baca Al-Qur`an
  • Membanyak sadakah
  • Doakan kejayaan anak

Semoga semua di dalam Hidayah Allah dan didoakan semoga mencapai keputusan cemerlang. Insya Allah.

Sekian.