Sunday 24 July 2011

Ceramah Ramadhan Di Pasar? Menarik & Unik!

Pasar BBB, Seksyen Satu, 21 Sya`ban = 23 Julai (Sabtu):


Ceramah Ramadhan, biasanya dilakukan di masjid dan surau atau di majlis-majlis yang dianggap terhormat dengan penceramah dan pendengar berpakaian sopan, sesuai dengan majlis agama yang suci dan dihormati.Tapi pagi ini realitinya Ceramah Ramadhan yang diadakan oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi dengan kerjasama Persatuan Peniaga-peniaga Pasar BBB dan Adun Bangi diadakan betul-betul di tengah Pasar Basah BBB dengan bahagian depan orang ramai sedang menikmati sarapan pagi dan juga membeli makanan pagi yang dijual di warung-warung berkenaan. Bahagian belakang peniaga-peniaga sayur, ikan dan daging dan pembeli-pembeli sedang giat membeli. Sebelah kanan dan kiri juga orang ramai sedang berurusan menjual dan membeli.
Ceramah di pasar, bukan sesuatu yang baru. Beberapa siri ceramah sedemikian pernah dilakukan oleh Pejabat Adun di luar pagar pasar berhadapan dengan kedai. Sambutan boleh dikatakan memuaskan. Begitu juga Persatuan Penduduk BBB juga mengadakan ceramah seperti menyambut Ramadhan, tetapi dilakukan di Sekolah Agama Lepai. Tapi yang hadir orang yang sama. Kebetulan pada masa ini Sekolah Agama Lepai sedang dalam pembinaan, maka cadangan mengadakan ceramah di Pasar BBB mendapat sokongan dari Persatuan Peniaga-peniaga Pasar BBB dan pihak Adun, maka sebab itu mulai jam 9.00 pagi hari ini (Sabtu) hari yang ramai dengan pengunjung-pengunjung ceramah diadakan. Kebiasaan tempat ceramah dipilih di pinggir pasar, kerana tidak mau mengganggu kegiatan di Pasar. Tapi kali ini pemilihan tempat dilakukan secara agresif di bawah anjung jalan masuk utama ke pasar basah dan berdepan dengan gerai-gerai utama.

Pemilihan penceramah berhubung dengan Ramadhan adalah bersesuaian dengan watak yang diperlukan oleh orang ramai di pasar yang berbagai watak, pakaian dan pembawaan.

Ustaz yang dijemput khas pada pagi ini ialah Ustaz Zulkifli Muhammad dari Ampang, seorang Pendakwah Bebas dan mempunyai Sekolah Tahfiz yang walaupun berbaju Melayu dan berkupiah, tetapi berwatak rock dan rugged dengan berseluar panjang yang banyak poket hingga ke betis.Mereka yang lain ada yang berjubah, tetapi kebanyakan berpakaian santai biasa sebagai orang yang datang ke pasar.. Tamu ke majlis yang duduk dikerusi-kerusi yang didatangkan selain dari Adun Bangi ialah Dr. Tajul Ariffin Noordin YDP Persatuan Penduduk BBB, Ustaz Shafie Ngah Ahli MPKj, Tuan Haji Ghazali Abbas Pengerusi Surau An-Nur yang juga Timbalan YDP Persatuan Penduduk BBB yang mempengerusikan majlis, saudara Yusri Junid Setiausaha Persatuan Peniaga-Peniaga Pasar BBB, kalangan muslimin dan beberapa muslimat yang turut hadir sebagai tetamu.

Saudara Yusri sebagai Tuan Rumah diberi penghormatan berucap mengalu-ngalukan kehadiran Peceramah Ustaz Zulkifli Muhammad, tamu-tamu dan orang ramai. Dr. Tajul Ariffin Noordin menyifatkan ceramah yang diadakan di pasar pada pagi ini lebih menarik dari ceramah seumpamanya yang diadakan di Sekolah Agama Lepai.dan mencadangkan agar ceramah seperti hari ini diadakan bukan setakat kehadiran Ramadhan, tapi wajar lebih kerap diadakan pada masa-masa bersesuaian.

Adun Bangi menekankan, bahawa ceramah yang diadakan di pasar pagi ini dan ceramah-ceramah yang pernah diadakan adalah bagi mengukuhkan pengiktirafan Bangi Bandar Ilmu. Biasanya ilmu didatangi, tapi kini ilmu mendatangai. Ceramah ini juga diadakan sempena kehadiran Ramadhan sebagai membesar dan menghidup syiar Ramadhan. Ceramah diharap dapat menghangat dan mengingatkan kita terhadap panduan dan amalan Ramadhan. Ceramah yang diadakan bukan untuk mengganggu aktiviti perniagaan, tetapi mempromosi. Diharap ceramah ini menjadi daya tarikan kepada kehadiran pembeli-pembeli sambil mendengar ceramah yang disampaikan. Sebenarnya adalah menjadi hasrat kita mau mempromosi dan memajukan perniagaan di pasar ini agar dapat menandingi perniagaan-perniagaan di pasar-pasar raya yang makin hampir menyerang peniaga-peniaga seperti Warta, Bintang dan kini Econ-Save. Terbaru ada permohonan dari TESCO untuk masuk ke BBB, kita dan Persatuan Penduduk menentang bagi menjaga peniaga-peniaga kecil di pasar dapat hidup. Tetapi pihak peniaga-peniaga melalui persatuan hendaklah senantiasa berfikir bagi menarik pembeli-pembeli antaranya barang jualan yang segar, berpatutan, jujur dan layanan yang memuaskan.

Ustaz Zulkifli Penceramah jemputan memuji tindakan AJK yang membawa ilmu ke pasar yang mensuasanakan tempat membeli belah dengan ilmu. Mereka yang sedang membeli ikan, daging, sayur dan makanan untuk jasmani dibekalkan kepada mereka bersama makanan rohani. Beliau menyebut tentang maksud Hadith Nabi tentang siapa mahukan dunia perlukan ilmu, siapa mahukan akhirat dengan ilmu dan siapa yang mau kedua-duanya juga dengan ilmu. Budaya ilmu yang dibawa turun ke tengah kehidupan masyarakat ditengah pasar menurut Ustaz Zulkifli adalah budaya yang juga dilakukan di Kelantan dalam mana Tok Guru Nik Aziz mengajar di tengah Bandar Kota Bharu dan orang ramai mendengar pengajarannya di jalan, di pasar dan pusat-pusat perniagaan, bahkan mereka berhenti di jalan-jalan, di kaki lima kedai dan di pinggiran mendengar pengajaran.

Ceramah di Pasar Bandar Baru Bangi pagi ini juga nampaknya menarik perhatian pendengar. Walaupun penganjur tidak meminta semua pihak menghentikan kegiatan dari menjual beli dan makan minum di warung-warung, tapi tertarik kepada ceramah Ustaz Zulkifli pengunjung-pengunjung seolah-seolah terpegun dan menghentikan kegiatan mereka. Ada yang terus duduk di kerusi-kerusi, ada yang terus berhenti dan berdiri mengarah kea rah penceramah. Ada yang merapatkan diri ke tempat ceramah dan antara peniaga-peniaga mengangkut kerusi-kerusi di warung-warung mereka ke keliling tempat ceramah. Wanita-wanita juga sama hadir mendengar dan duduk bersebelahan penceramah.

Ceramah Ustaz Zul mempunyai tarikan tersendiri dengan gayanya yang santai dan lucu dan kadang-kadang beliau berlagu dan menyanyi.

Tentang Ramadhan katanya bulan istimewa yang terakam keistimewaannya dalam Al-Qur`an yang menyebut bahawa pada bulan tersebut diturunkan Al-Qur`an. Berhubung dengan Ramadhan ini beliau menyanyi:

Ramadhan menjelang datang
Sambutlah dengan keikhlasan
Bagai menyambut ketibaan
Yang dicinta penuh sayang
Marhaban ya Ramadhan

Berhubung dengan Ramadhan kadang-kadang orang yang memang persiapkan diri dan belajar sebelumnya bagi menunaikan Ramadhan sebaik mungkin terhalang oleh gangguan-gangguan. Menurutnya negeri kita amat banyak dengan berbagai jenis makanan, terutama di bulan Ramadhan. Kalau di Jepun hanya beberapa jenis makanan seperti suci (ikan mentah), di tempat kita berpuluh bahkan beratus jenis juadah, kuih dan makanan termasuklah yang pelik-pelik seperti onde-onde, telinga kering, cakar ayam, kayu buruk, tahi itik, badak berendam dan berbagai-bagai lagi. Jika di rumah orang perempuan habis masa memasak, jika ke pasar dan warung tawaf mengelilingi kuih dan makanan menyebabkan tidak berlaku konsentrasi terhadap ibadat puasa dan ibadat-ibadat yang lain yang patut diberi keutamaan.

Ustaz Zul memetik maksud Hadith tentang siapa yang menunaikan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kewaspadaan, maka diampun dosa-dosa yang dilakukan sebelumnya. Tetapi menurutnya sebaik separuh Ramadhan jiwa dan sentimental mereka yang menunaikan Ramadhan diganggu dengan lagu-lagu sentimental dan sedih seperti mengingatkan kepada yang dicintai lantas beliau menyanyi lagi Oh Fatimah oleh A. Ramli yang menjadikan hadirin ketawa, bahkan menurutnya semakin Ramadhan bergerak ke hujung dendang-dendang lagu hariraya mulai berkumandang di udara, seperti Dendang Perantau oleh P. Ramli, Hariraya oleh Fazidah Joned. Ketupat dan Rendang oleh Saloma dan berbagai lagu lagi yang mengganggu emosi dan konsentrasi mereka yang sedang menunaikan ibadat Ramadhan dan hati mereka mulai tidak tenteram mengingatkan kampong dan hilang tumpuan kepada Ramadhan.

Ramadhan sepatutnya ditunaikan dengan sepenuh jiwa dan penuh ihtisab sebagaimana sahabat-sahabat berperang Badar pada bulan Ramadhan, tetapi kita bukan masuk berperang, tetapi tewas dengan peperangan nafsu makan. Beliau juga menyebut persediaan Perang Khandak yang kerja-kerja menggali parit keliling Madinah juga dilakukan pada bulan Ramadhan dan Rasulullah berdoa secara puisi terhadap orang Ansar dan Muhajirin. Tetapi kita berperang dengan mata yang lebih banyak mendorong mata tidur dari berjaga untuk beribadat, solat, membaca Al-Qur`an, qiyamullail, tahajjud dan sebagainya. Jika siang menurutnya lebih terdorong kepada melihat filen-filem Hindustan dari menumpukan diri kepada tadarrus Al-Quran lantas beliau menyanyi lagi Hindustan penuh konsentrasi dan lengkap. Sebaik habis menyanyi beliau mengatakan beliau meminati sebutan dan lagu, tapi tak tahu apa maksudnya lagu!

Sebagaimana normal pada bulan Ramadhan antara ibadat khusus pada bulan ini ialah Solat Tarawih. Beliau mengkritik imam-imam yang tidak memenuhi bacaan secara cergas dan elok, tetapi lembik dan mengantuk hingga menjadikan makmun lemah dan turut mengantuk. Beliau juga mengkritik solat tarawih yang dilakukan secara merempet dan express. Bagi beliau lebih baik bersolat tarawih lapan rakaat secara sempurna dari merempet dan ekpress untuk mencukupkan dua puluh rakaat. Beliau meminta supaya amalan puasa nanti hendaklah ditunaikan sesempurna yang mungkin agar kita dapat ganjaran sempurna dari kehadaran Ramadhan al-Mubarak. Ustaz Zulkifli menamatkan ceramahnya dalam masa 45 minit dengan gaya yang menarik, diselang seli dengan gurauan, sindirin, nyanyian, nasihat dan panduan. Gaya ceramah yang dibawanya sesuai dengan masyarakat awam yang lokasinya adalah di Pasar !

Sekian.