Sunday 26 June 2011

Sejenak Ke Arah Membudayakan Diri Dengan Membaca; Peraduan Mengarang Esei Dan Puisi Bangi Bandar Ilmu Dilancarkan


Tasik Cempaka, BBB, 24 Rajab = 26 Jun (Ahad):

Bandar Baru Bangi hari ini secara serentak sama dengan pihak negeri di Shah Alam – memperuntukkan masa sejenak bagi peserta Membudayakan Diri Dengan Membaca bermula dari jam 10.45- 11.00 pagi bertempat di pinggiran Tasik Cempaka. Peserta membaca bahan yang diedarkan oleh Penganjur iaitu Sekretariat Bangi Bandar Ilmu Adun Bangi, Pejabat Daerah dan Pihak Perpustakaan Hulu Langat. Hadir bersama ialah YB Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Puan Norfaezah binti Omar Ketua Penolong Pegawai Daerah (Pembangunan), En. Anuar Akasah dari Perpustakaan Hulu Langat, Bandar Baru Bangi, wakil-wakil agensi dan orang ramai.

Sebelum dari tiba jam 10.45 Adun Bangi Melancarkan Peraduan Mengarang Esei Dan Puisi. Peraduan ini sempena Sambutan 3 Tahun Pengisytiharan Bangi Bandar Ilmu yang dilakukan oleh Tan Sri Datuk Seri Abdul Khalid Ibrahim pada 22.6,2008 bertempat di KUIS. Peraduan Mengarang melibatkan tiga kategori:

1) Mengarang esei pada peringkat tinggi panjangnya antara 5,000 – 6,000 perkataan
2) Mengarang esei peringkat Menengah, panjangnya antara 1.500 – 2,000 perkataan
3) Menulis puisi (Pantun, Sajak, Syair dan sebagainya).

a) Esei Peringkat Tinggi bersifat ilmiah, menggunakan rujukan adalah lebih baik: Tajuk-tajuk panduan adalah seperti berikut:

1. Bangi Bandar yang membangun berpaksikan pusat pengajian dengan masyarakatnya berbudaya keilmuan.
2. Bangi Bandar Universiti: Realiti dan Harapan
3. Peranan pelbagai agensi dan institusi di sekitar Bangi bagi membina imej Bangi Bandar Ilmu
4. Bangi masih belum layak diiktiraf sebagai Bandar Ilmu
5. Kegiatran dan aktiviti bagi pengisian Bangi Bandar Ilmu
6. Industri keilmuan menjana ekonomi
7. Program dan aktiviti tahunan bagi kegiatan keilmuan di Bangi
8. Konsep Bandar Ilmu/Universiti di luar Negara sebagai panduan bagi Bangi Bandar Ilmu.
9. Melahirkan pemikir, ilmuan, budayawan dan pemimpin di Bangi
10. Memupuk masyarakat berilmu di Bangi sebagai Bandar bagi Negara Sempurna (Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur).

b) Judul-judul bagi kategori Peringkat Menengah

1) Bangi Bandar Sejahtera, aman, berilmu dan berkebajikan.
2) Meningkatkan kualiti hidup melalui institusi kekeluargaan
3) Peranan surau dan masjid di taman perumahan kami di Bangi
4) Tempat-tempat istimewa di Bangi
5) Kerjaya ibu bapa saya adalah cabaran bagi saya.
6) Minat/hobi dan aktiviti di luar masa Sekolah saya
7) Peranan Golongan muda bagi pengisian Bangi Bandar Ilmu
8) Memupuk keharmonian di kalangan penduduk Bangi
9) Sekiranya dilantik sebagai pemimpin di Bangi saya akan …
10) Bangi pada tahun 2021

c) Puisi (Pantun, Sajak, syair dan sebagainya) – temanya:

1) Kecintaan pada Allah dan Rasul
2) Berkaitan dengan Bangi Bandar Ilmu
3) Kecintaan pada Ilmu
4) Kecintaan pada Alam
5) Kecintaan pada keharmonian

Hadiah Untuk semua kategori

Pemenang Tinggi Menengah Puisi

Pertama RM5,000 RM1,000 RM1.000
Kedua RM4,000 RM800 RM800
Ketiga RM3,000 RM500 RM500
Saguhati RM1000 RM100 RM100

(Penerima hadiah juga akan dikurniakan Sijil Penyertaan)

Syarat Peraduan

1) Terbuka kepada warga Negara Malaysia
2) Semua karya mestilah asli dan dalam bahasa Melayu
3) Setiap hasil tulisan mestilah dihantar dalam `hardcopy dan soft Copy
4) Setiap karya mestilah disertakan, nama, alamat, No. Kad Pengenalan serta no telefon.
5) Esei adalah berdasarkan kepada satu tajuk panduan pilihan yang telah disenaraikan
6) Setiap penyertaan mestilah menggunakan format borang penyertaan yang disediakan
7) Tarikh Tutup semua peraduan adalah pada 31 Disember 2011.
8) Semua hasil penyertaan adalah menjadi hakmilik penganjur
9) Keputusan panel hakim adalah muktamad. Hanya karya yang memenuhi mutu yang telah ditetapkan layak menerima sebarang hadiah
10) Semua karya hendaklah dihantar ke Pejabat Adun Bangi atau melalui email - drshafien26@gmail.com.
11) Karya yang terpilih akan diterbitkan dalam bentuk buku
12) Sebarang persoalan bolehlah menghubungi:

Pejabat Adun Bangi, No. 8 Jln ¼ , Seksyen satu, 43650 Bandar Baru Bangi, Selangor
Tel: 03: 89250891 atau hubungi Nabilah – 0132845497, Aisyah 0137017920

Selepas pelancaran pertandingan mengarang dan membaca lima belas minit Adun Bangi diiringi

Puan Nurfaezah menarik tali bagi memaparkan poster Bangi Bandar Ilmu dan Pelancaran Peraduan Mengarang seterusnya menandatangani postar berkenaan.

Sekian.

Friday 24 June 2011

Kata-kata aluan MB Selangor Sempena Perasmian Pelancaran Bangi Bandar Ilmu

SUMBER : BLOG YB DR SHAFIE ABU BAKAR
 
Ucapan Perasmian Pelancaran Bangi Bandar Ilmu

Bismillahirrahmanirrahim.
Alhamdulillah....
Waasolatuwasslamuala asyrafil ambiyai wal mursalin Waala alihi wasahbihi ajma'in....

Saudara Pengerusi Majlis,
Yang Berhormat Dr. Halimah Ali, Ahli Mesyuatrat Kerajaan Negri Selangor
Yang Berhormat Dr. Shafie Abu Bakar, Ahli Dewan Undangan Negeri Selangor Kawasan bangi
Ahli-ahli Yang Berhormat
Yang Berbahagia Dato Adanan Isman, Rektor Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor
Dato-dato, datin-datin
tuan-tuan dan puan-puan sekelian.

Pertama-tamanya, marilah kita panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT yang telah memberi nikmat kepada kita, dapat bertemu dalam majlis perasmian pelancaran bangi Bandar Ilmu pada pagi ini.

Saya mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Yang Berhormat Dr. Shafie Abu Bakar yang telah mengilhamkan inisiatif ini iaitu mahu menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian;
Usaha yang dilakukan ini sebenarnya sangat bertepatan dengan matlamat dan cita-cita Kerajaan Negeri Selangor sendiri. YB berhasrat menjadikan Selangor sebagai hub ilmu.
Baru-baru ini exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, iaitu Yang Berhormat Dr. Halimah Ali, kerajaan negeri baru-baru ini telah memulakan program mennjejaki para ilmuan di seluruh negeri Selangor. Program ini dinamakan "jejak ilmuan."
Program jejak ilmuan ini ialah mencari dan menjejaki para ilmuan terbilang di seluruh negeri Selangor ini bagi membentuk suatu data-base ilmuan, dengan tujuan untuk memastikan para sarjana dan ilmuan diletakkan di tempat yang mulia, dipandang tinggi dan dicontohi oleh segenap lapisan masyarakat, khususnya golongan muda hari ini.
Oleh yang demikian, pelancaran Bangi Bandar Ilmu pada hari ini sangat bertepatan dengan hasrat dan cita-cita kerajaan negeri tersebut. Dengan usaha-usaha murni seperti ini, baik yang dilaksanakan di peringkat negeri ataupun di peringkat DUN-DUN, saya percaya rakyat Malaysia, khususnya rakyat Selangor akan mendapat rahmat dan hikmat kewujudan para ilmuan semua.

Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Ilmu sangat penting dalam kehidupan, tidak kira dalam era mana kehidupan itu, lebih-lebih lagi dalam dunia tanpa sempadan ini. Ini kerana dengan ilmulah manusia boleh maju dan mencipta lebih banyak pembaharuan di atas muka bumi ini bagi memenuhi maksud "Khalifah fi al-Ard." Betapa besarnya peranan ilmu, begitulah juga besarnya peranan para ilmuan. Tanpa mereka siapalah kita semua. Sebab itu Allah SWT telah berfirman di dalam surah az-Zumar ayat 9 yang bermaksud' "Katakanlah; apakah sama antara orang berilmu dengan orang yang tidak berilmu..." Dalam sebuah hadith, Rasulullah s.a.w. pernah bersabda, maksudnya; "Sesiapa yang mahukan kehidupan dunia maka ia mesti berilmu, sesiapa yang mahukan kehidupan Akhirat dia mesti berilmu, dan sesiapa yang mahukan kehidupan kedua-duanya sekali dia mesti berilmu."


Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Saya yakin kita semua sangat gembira sekiranya Bangi boleh memimpin dalam memertabatkan ilmu dan para ilmuan. Bangi mempunyai prasarana yang baik bagi menjadikannya benar-benar Bandar Ilmu kerana Bangi berada di persekitaran yang baik dan kondusif serta dikelilingi oleh banyak institusi pengajian tinggi yang tersohor. Bangi bukan sahaja dihuni oleh ramai para ilmuan, malah sarat dengan pakar-pakar dalam pelbagai bidang ilmu, baik di peringkat tempatan mahupun peringkat antarabangsa. Sebagai Bandar Ilmu, Bangi mesti realistik. Oleh itu, sebelum masyarakat luar menikmati ilmu yang ada di Bangi ini, masyarakat setempat mesti terlebih dahulu mendapat nikmat limpahan ilmu Bangi ini.


Tuan-tuan dan puan-puan sekelian; Saya percaya Yang Berhormat Dr. Shafie Abu bakar mampu merealisasikan cita-cita murni ini, sebab beliau memangterkenal sebagai tokoh masyarakat yang cintakan ilmu dan budaya, serta sangat rapat dengan semua lapisan masyarakat di segenap peringkat. Buat akhirnya, sekali lagi saya dan Kerajaan Negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Yang Berhormat ADUN Bangi dan Ahli Jawatankuasa atas inisiatif menjadikan Bangi sebagai Bandar Ilmu. Saya berdoa, mudah-mudahan ianya berjalan lancar. Dengan ucapan ini, saya doa semoga usaha menjadikan Bangi Bandar Ilmu ini sebagai Bandar Ilmu menjadi kenyataan dan dengan lafaz bismillahhirrahmanirrahim, dengan ini saya merasmikan program Bangi Bandar Ilmu. Sekian terimakasih. Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh.