Tuesday, 3 July 2012

Laporan Penilaian Peraduan Esei Dan Puisi Bangi Bandar Ilmu, Perisytiharan Hari Ilmu Dan Penerbitan Buku

Majlis di atas pada malam ini diadakan di Bangi Golf Resort dihadiri tamu istimewa Tan Sri Profesor Dr. Kamal Hassan Mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, para-para Penulis Esei dan Puisi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang dan Ahli MPKj, saudara Dr. Azizi Omar Pensyarah UKM, Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Encik Abdul Latif Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, Encik Azlan Nordin Ketua Kampong Kampong Bahagia Bangi, Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kampong Bangi, AJK Sekretariat Bangi Bandar Ilmu dan para jemputan yang keseluruhan berjumlah 60 orang. Majlis dikendalikan oleh Juruacara saudara Abu Bakar Alias yang mengumumkan pembukaan majlis dengan bacaan doa oleh saudara Azemi Ahmad diikuti dengan jamuan. Selepas jamuan Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar menyampaikan ucapan dan ulasan

Peraduan Penulisan Esei dan Puisi dilancarkan sempena tiga tahun Bangi Bandar Ilmu (2008-2011). Tarikh tutup peraduan akhir 2011. Hari ini (22 Jun) ialah genap 4 tahun Bangi Bandar Ilmu diisytiharkan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim (22.6.2008). Dengan ini diisytiharkan tarikh 22 Jun adalah Hari Ilmu Bangi.
Peraduan Penulisan Esei pada peringkat tinggi mengenai Bangi Bandar Ilmu disertai oleh 13 peserta penulis esei (satu setiap orang) dan 16 peserta penulis puisi (ada yang menghantar lebih dari satu puisi). Panel bergembira mendapati antara peserta yang menyertai peraduan adalah pelajar Malaysia yang sedang membuat ijazah Ph. D. di Queen University Belfast, UK, pelajar dari universiti di Jordan dan Mesir dan pelajar-pelajar dari UKM, UTM, UIA dan KUIS. Semua peserta adalah lulusan universiti paling minimum ijazah pertama dan sebahagian sedang membuat ijazah lanjutan. Penyertaan bukan saja dari Selangor, bahkan dari berbagai Negeri hingga ke Sabah.

Peraduan Penulisan Esei:
Panel Penilai mengakui: Esei bertajuk: Konsep Bandar Ilmu Di Luar Negara Sebagai Panduan Bagi Bangi Bandar Ilmu. Penulis esei ini ialah saudara Azman Maamor yang semasa menghantar esei beliau sedang membuat Ijazah Ph.D di Queen University of Belfast, UK.

Kekuatan esei saudara Azman ialah dari segi penyelidikan beliau dan rujukan tentang Bandar-bandar ilmu di luar Negara yang boleh dijadikan contoh bagi Bangi Bandar Ilmu. Beliau menyebut Bandar Ilmu wujud sejak zaman Madinah, kerajaan Umawiyyah dan Abbasiyyah yang berpaksikan masjid dan istana. Kegiatan penulisan keilmuan dan penghasilan penulisan banyak dilakukan.

Pada zaman Renaissance berlaku, didirikan University of Paris yang mencirikan Paris sebagai Bandar Ilmu dan berikutnya lahir Universiti Oxford dan Universiti Cambridge yang hingga kini menjadi antara 10 buah universiti terbaik menurut The Times Higher Education World University Ranking (Times, 2011-2012). Bandar Oxford dan Cambridge adalah dua buah Bandar Ilmu terkenal.

Penulis membicarakan Bandar ilmu moden di Lembah Silikon (Sillicon Valley) di California yang berkembang mulai pertengahan abad 20 dengan menjadikan universiti sebagai pusat penyelidikan utama.seperti Universiti California dan Universiti Stanford . Lebih dari pada 70 syarikat bergerak dari sini termasuk syarikat-syarikat semi conductor. Bandar ilmu yang lain ialah Route 128 di Massachusetts. Di sini terdapat Universiti Harvard dan Massachusetts Institute Technology (MIT). Di sini bertempat NASA dan Jabatan Pertahanan Amerika. Kedua-dua Bandar ilmu ini terus bertanding secara sihat mendapat pakar terbaik dan menyediakan tempat selesa di diami.

Di Eropah Bandar ilmu zaman moden yang muncul ialah di Dublin, Ireland dan Stockholm di Sweden yang muncul sejak 1990an dengan pembangunan yang pesat, kedua-dua Bandar ilmu menarik pelaburan luar. Kedua-dua tempat istimewa dalam bidang komunikasi teknologi tinggi contoh Ericcson. Bandar Ilmu di Australia ialah Bandar Melbourn yang menarik ramai pelajar termasuk dari Malaysia.

Pendekatan yang diambil sdr. Azman dengan contoh-contoh Bandar Ilmu di luar Negara adalah baik, tetapi tidak dapat memberi pendekatan dan contoh terbaik bagi Bandar Ilmu di Bangi. Model dan pendekatan bagaimana harus dicadangkan bagi meningkatkan imej Bangi Bandar Ilmu.

Panel berpendapat Esei ini layak berkedudukan tempat kedua (hadiah RM4,000) dan tiada yang layak tempat pertama (hadiah RM5,000). Penulis Azman Maamor kini Pensyarah Sains di Universiti Malaya.

Esei yang menarik perhatian penilai seterusnya ialah berjudul Bangi Bandar Yang Membangun Berpaksikan Pusat Pengajian Dengan Masyarakatnya Berbudaya Keilmuan.

Esei ini membicarakan tentang konsep tamadun dan ilmu adalah pemangkin kebudayaan dengan menggalurkan tamadun dan perkembangan keilmuan Islam dari Baghdad ke Andalusia menghasilkan tokoh dari Ibn Sina, Ibn Rushd hingga ke Al-Ghazali, Al Biruni dan Al-Battani. Turut dibicarakan tentang Institusi pendidikan keislaman.

Kemudian dibicarakan tentang kategori pendidikan di Malaysia. Beliau membicarakan institusi-institusi pendidikan yang ada di Bangi, fungsi masjid dan surau dalam memperkembangkan ilmu. Budaya membaca dan masyarakat Bangi yang berbudayakan ilmu sebagai pra-syarat bagi menjayakan Bangi Bandar Ilmu.
Penulisan lengkap dengan rujukan dan nota kaki, namun lebih bersifat menyatakan apa yang ada, tetapi harapan bagaimana memperkasakan Bangi sebagai Bandar Ilmu tidak dibicarakan secara kreatif dan futuristic. Esei lebih memandang kebelakang dan pernyataan realiti kini dan tiada cadangan masa depan.
Panel memilih esei ini sebagai tempat ketiga (Hadiah RM3,000). Penulis adalah Baharum bin Faizan – Pelajar Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Panel memilih 5 buah esei bagi diberi hadiah sagu hati (RM1,000 setiap satu):
1- Bangi Bandar Yang Membangun Berpaksikan Pusat Pengajian Dengan Masyarakat Berbudaya Keilmuan oleh Siti Hajar bin Arshad – Pelajar Ijazah Lanjutan Universiti Teknologi Malaysia.
2- Bangi Bandar Ilmu – Oleh Saida Farhana Sarkam. Sedang mengikuti Ijazah Lanjutan di Universiti Utara Malaysia.
3- Peranan Pelbagai Agensi Institusi di Sekitar Bangi Bagi Membina Imej Bandar Ilmu oleh Ahmad Shafiq bin Razelan (UITM Shah Alam)
4- Mengisi dan Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Oleh Maryam bt. Jailani (UIAM).
5- Memupuk Masyarakat Berilmu Di Bangi sehingga menjadi Bandar dan Negara Sempurna (Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur) – Oleh Ahmad Misbah bin Muhammad Hilmi (Lulusan Al-Azhar Pensyarah KUIS).
Bahagian Puisi
Seramai 16 pemuisi telah menghantar karya masing-masing. Setelah meneliti kami memilih.
1) Bangi Mengukur Tamadun
Penulis merakam kenangan semasa menuntut di UKM secara alamiah dan intuitif. Beliau menghantar harapan tinggi Bangi menjadi Bandar Ilmu terkenal. Penyair (Abdulhadi bin Muhammad) adalah penyair terkenal tanahair yang pernah memenangi dua kali Hadiah Sastera Malaysia dengan puisi Ruang Dalam dan Uirr Charr. Dengan puisi `Bangi Mengukur Tamadun` Panel berpendapat Abdul Hadi Muhammad layak menerima Hadiah Pertama bernilai RM1,000.
2. Siklus Simfoni Alam
Adalah hasil kreativiti Penulis Badariah binti Arbin dari Sandakan Sabah. Beliau mengungkapkan puisinya secara syahdu kental dengan keimanan di dalam mendengar dan menghayati kemerduan ayat-ayat suci Al-Qur`an. Indah puisinya dan tersentuh kalbu menghayatinya. Oleh kejauhan tempat penyairnya tidak dapat hadir bersama di dalam majlis. Puisi Siklus Simfoni Alam berkelayakan menerima Hadiah Puisi Kedua dengan nilai RM800.
3. Untaian Kasih
Oleh Syarifah Duratul Kameena binti Syed Ahmad Kamil melakarkan pengalaman halus dan intuitifnya di dalam mendepani, membaca dan menekuni ayat-ayat Al-Qur`an. Dalam suasana kudus dan halus jiwa, beliau memohon hidayah dan pertunjuk dari Allah dan syafaat dari Rasulullah yang diturunkan kepadanya Al-Qur`an. Puisi Untaian Kasih berkedudukan Tempat Ketiga dengan Hadiah RM500.
Lima puisi pilihan untuk Sagu Hati (RM100 setiap satu)
I. Menjahit Sayap-Sayap Ilmu oleh Muhammad Aminul Khalil bin Zaini (Ampang Hilir).
II. Pantun Kecintaan Kepada Allah Dan Rasul oleh Siti Salwa binti Samigin UKM (Bandar Baru Bangi).
III. Syair Kecintaan Pada Ilmu oleh Ruhaiza bt. Abdullah (Putrajaya).
IV. Puisi Buat Kekasih Allah oleh Mohd Ferdaus bin Mohd Alwi (Kunak, Sabah – tidak hadir)
V. The Happiness oleh Mohd Hafidz Md. Samsudi (Taman Seri Kenari, Kajang).

 
Panel berpuashati dengan penyertaan dan mutu karya-karya dari segi penilaian. Dalam majlis pemenang puisi pertama saudara Abdulhadi Muhammad mendeklamasi puisinya, manakala saudari Syarifah Duratul Kameena mendeklamasikan puisi Untaian Kasih. Saudara Azman Maamor dan saudara Baharum bin Faizan menyampaikan ucapan ringkas.

Tan Sri Profesor Dr. Kamal Hassan diiringi Adun Bangi sudi menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang dan penerima sagu hati, bahkan penulis-penulis yang menyertai pertandingan. Karya-karya menang – termasuk sagu hati akan diterbitkan di dalam sebuah buku yang dijangka diberi judul "GAGASAN BANGI". Pada malam ini juga Adun Bangi mengumumkan akan menerbitkan buku ketiga Pemikiran Bangi yang -penulusannya ditawarkan kepada ilmuan-ilmuan, pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh berjasa di Bangi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment

Post a Comment