Tuesday 3 July 2012

Laporan Penilaian Peraduan Esei Dan Puisi Bangi Bandar Ilmu, Perisytiharan Hari Ilmu Dan Penerbitan Buku

Majlis di atas pada malam ini diadakan di Bangi Golf Resort dihadiri tamu istimewa Tan Sri Profesor Dr. Kamal Hassan Mantan Rektor Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, para-para Penulis Esei dan Puisi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang dan Ahli MPKj, saudara Dr. Azizi Omar Pensyarah UKM, Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir Ketua Kampong Sungai Ramal Luar, Encik Abdul Latif Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, Encik Azlan Nordin Ketua Kampong Kampong Bahagia Bangi, Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kampong Bangi, AJK Sekretariat Bangi Bandar Ilmu dan para jemputan yang keseluruhan berjumlah 60 orang. Majlis dikendalikan oleh Juruacara saudara Abu Bakar Alias yang mengumumkan pembukaan majlis dengan bacaan doa oleh saudara Azemi Ahmad diikuti dengan jamuan. Selepas jamuan Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar menyampaikan ucapan dan ulasan

Peraduan Penulisan Esei dan Puisi dilancarkan sempena tiga tahun Bangi Bandar Ilmu (2008-2011). Tarikh tutup peraduan akhir 2011. Hari ini (22 Jun) ialah genap 4 tahun Bangi Bandar Ilmu diisytiharkan oleh YAB Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim (22.6.2008). Dengan ini diisytiharkan tarikh 22 Jun adalah Hari Ilmu Bangi.
Peraduan Penulisan Esei pada peringkat tinggi mengenai Bangi Bandar Ilmu disertai oleh 13 peserta penulis esei (satu setiap orang) dan 16 peserta penulis puisi (ada yang menghantar lebih dari satu puisi). Panel bergembira mendapati antara peserta yang menyertai peraduan adalah pelajar Malaysia yang sedang membuat ijazah Ph. D. di Queen University Belfast, UK, pelajar dari universiti di Jordan dan Mesir dan pelajar-pelajar dari UKM, UTM, UIA dan KUIS. Semua peserta adalah lulusan universiti paling minimum ijazah pertama dan sebahagian sedang membuat ijazah lanjutan. Penyertaan bukan saja dari Selangor, bahkan dari berbagai Negeri hingga ke Sabah.

Peraduan Penulisan Esei:
Panel Penilai mengakui: Esei bertajuk: Konsep Bandar Ilmu Di Luar Negara Sebagai Panduan Bagi Bangi Bandar Ilmu. Penulis esei ini ialah saudara Azman Maamor yang semasa menghantar esei beliau sedang membuat Ijazah Ph.D di Queen University of Belfast, UK.

Kekuatan esei saudara Azman ialah dari segi penyelidikan beliau dan rujukan tentang Bandar-bandar ilmu di luar Negara yang boleh dijadikan contoh bagi Bangi Bandar Ilmu. Beliau menyebut Bandar Ilmu wujud sejak zaman Madinah, kerajaan Umawiyyah dan Abbasiyyah yang berpaksikan masjid dan istana. Kegiatan penulisan keilmuan dan penghasilan penulisan banyak dilakukan.

Pada zaman Renaissance berlaku, didirikan University of Paris yang mencirikan Paris sebagai Bandar Ilmu dan berikutnya lahir Universiti Oxford dan Universiti Cambridge yang hingga kini menjadi antara 10 buah universiti terbaik menurut The Times Higher Education World University Ranking (Times, 2011-2012). Bandar Oxford dan Cambridge adalah dua buah Bandar Ilmu terkenal.

Penulis membicarakan Bandar ilmu moden di Lembah Silikon (Sillicon Valley) di California yang berkembang mulai pertengahan abad 20 dengan menjadikan universiti sebagai pusat penyelidikan utama.seperti Universiti California dan Universiti Stanford . Lebih dari pada 70 syarikat bergerak dari sini termasuk syarikat-syarikat semi conductor. Bandar ilmu yang lain ialah Route 128 di Massachusetts. Di sini terdapat Universiti Harvard dan Massachusetts Institute Technology (MIT). Di sini bertempat NASA dan Jabatan Pertahanan Amerika. Kedua-dua Bandar ilmu ini terus bertanding secara sihat mendapat pakar terbaik dan menyediakan tempat selesa di diami.

Di Eropah Bandar ilmu zaman moden yang muncul ialah di Dublin, Ireland dan Stockholm di Sweden yang muncul sejak 1990an dengan pembangunan yang pesat, kedua-dua Bandar ilmu menarik pelaburan luar. Kedua-dua tempat istimewa dalam bidang komunikasi teknologi tinggi contoh Ericcson. Bandar Ilmu di Australia ialah Bandar Melbourn yang menarik ramai pelajar termasuk dari Malaysia.

Pendekatan yang diambil sdr. Azman dengan contoh-contoh Bandar Ilmu di luar Negara adalah baik, tetapi tidak dapat memberi pendekatan dan contoh terbaik bagi Bandar Ilmu di Bangi. Model dan pendekatan bagaimana harus dicadangkan bagi meningkatkan imej Bangi Bandar Ilmu.

Panel berpendapat Esei ini layak berkedudukan tempat kedua (hadiah RM4,000) dan tiada yang layak tempat pertama (hadiah RM5,000). Penulis Azman Maamor kini Pensyarah Sains di Universiti Malaya.

Esei yang menarik perhatian penilai seterusnya ialah berjudul Bangi Bandar Yang Membangun Berpaksikan Pusat Pengajian Dengan Masyarakatnya Berbudaya Keilmuan.

Esei ini membicarakan tentang konsep tamadun dan ilmu adalah pemangkin kebudayaan dengan menggalurkan tamadun dan perkembangan keilmuan Islam dari Baghdad ke Andalusia menghasilkan tokoh dari Ibn Sina, Ibn Rushd hingga ke Al-Ghazali, Al Biruni dan Al-Battani. Turut dibicarakan tentang Institusi pendidikan keislaman.

Kemudian dibicarakan tentang kategori pendidikan di Malaysia. Beliau membicarakan institusi-institusi pendidikan yang ada di Bangi, fungsi masjid dan surau dalam memperkembangkan ilmu. Budaya membaca dan masyarakat Bangi yang berbudayakan ilmu sebagai pra-syarat bagi menjayakan Bangi Bandar Ilmu.
Penulisan lengkap dengan rujukan dan nota kaki, namun lebih bersifat menyatakan apa yang ada, tetapi harapan bagaimana memperkasakan Bangi sebagai Bandar Ilmu tidak dibicarakan secara kreatif dan futuristic. Esei lebih memandang kebelakang dan pernyataan realiti kini dan tiada cadangan masa depan.
Panel memilih esei ini sebagai tempat ketiga (Hadiah RM3,000). Penulis adalah Baharum bin Faizan – Pelajar Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.

Panel memilih 5 buah esei bagi diberi hadiah sagu hati (RM1,000 setiap satu):
1- Bangi Bandar Yang Membangun Berpaksikan Pusat Pengajian Dengan Masyarakat Berbudaya Keilmuan oleh Siti Hajar bin Arshad – Pelajar Ijazah Lanjutan Universiti Teknologi Malaysia.
2- Bangi Bandar Ilmu – Oleh Saida Farhana Sarkam. Sedang mengikuti Ijazah Lanjutan di Universiti Utara Malaysia.
3- Peranan Pelbagai Agensi Institusi di Sekitar Bangi Bagi Membina Imej Bandar Ilmu oleh Ahmad Shafiq bin Razelan (UITM Shah Alam)
4- Mengisi dan Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Oleh Maryam bt. Jailani (UIAM).
5- Memupuk Masyarakat Berilmu Di Bangi sehingga menjadi Bandar dan Negara Sempurna (Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur) – Oleh Ahmad Misbah bin Muhammad Hilmi (Lulusan Al-Azhar Pensyarah KUIS).
Bahagian Puisi
Seramai 16 pemuisi telah menghantar karya masing-masing. Setelah meneliti kami memilih.
1) Bangi Mengukur Tamadun
Penulis merakam kenangan semasa menuntut di UKM secara alamiah dan intuitif. Beliau menghantar harapan tinggi Bangi menjadi Bandar Ilmu terkenal. Penyair (Abdulhadi bin Muhammad) adalah penyair terkenal tanahair yang pernah memenangi dua kali Hadiah Sastera Malaysia dengan puisi Ruang Dalam dan Uirr Charr. Dengan puisi `Bangi Mengukur Tamadun` Panel berpendapat Abdul Hadi Muhammad layak menerima Hadiah Pertama bernilai RM1,000.
2. Siklus Simfoni Alam
Adalah hasil kreativiti Penulis Badariah binti Arbin dari Sandakan Sabah. Beliau mengungkapkan puisinya secara syahdu kental dengan keimanan di dalam mendengar dan menghayati kemerduan ayat-ayat suci Al-Qur`an. Indah puisinya dan tersentuh kalbu menghayatinya. Oleh kejauhan tempat penyairnya tidak dapat hadir bersama di dalam majlis. Puisi Siklus Simfoni Alam berkelayakan menerima Hadiah Puisi Kedua dengan nilai RM800.
3. Untaian Kasih
Oleh Syarifah Duratul Kameena binti Syed Ahmad Kamil melakarkan pengalaman halus dan intuitifnya di dalam mendepani, membaca dan menekuni ayat-ayat Al-Qur`an. Dalam suasana kudus dan halus jiwa, beliau memohon hidayah dan pertunjuk dari Allah dan syafaat dari Rasulullah yang diturunkan kepadanya Al-Qur`an. Puisi Untaian Kasih berkedudukan Tempat Ketiga dengan Hadiah RM500.
Lima puisi pilihan untuk Sagu Hati (RM100 setiap satu)
I. Menjahit Sayap-Sayap Ilmu oleh Muhammad Aminul Khalil bin Zaini (Ampang Hilir).
II. Pantun Kecintaan Kepada Allah Dan Rasul oleh Siti Salwa binti Samigin UKM (Bandar Baru Bangi).
III. Syair Kecintaan Pada Ilmu oleh Ruhaiza bt. Abdullah (Putrajaya).
IV. Puisi Buat Kekasih Allah oleh Mohd Ferdaus bin Mohd Alwi (Kunak, Sabah – tidak hadir)
V. The Happiness oleh Mohd Hafidz Md. Samsudi (Taman Seri Kenari, Kajang).

 
Panel berpuashati dengan penyertaan dan mutu karya-karya dari segi penilaian. Dalam majlis pemenang puisi pertama saudara Abdulhadi Muhammad mendeklamasi puisinya, manakala saudari Syarifah Duratul Kameena mendeklamasikan puisi Untaian Kasih. Saudara Azman Maamor dan saudara Baharum bin Faizan menyampaikan ucapan ringkas.

Tan Sri Profesor Dr. Kamal Hassan diiringi Adun Bangi sudi menyampaikan hadiah-hadiah kepada pemenang dan penerima sagu hati, bahkan penulis-penulis yang menyertai pertandingan. Karya-karya menang – termasuk sagu hati akan diterbitkan di dalam sebuah buku yang dijangka diberi judul "GAGASAN BANGI". Pada malam ini juga Adun Bangi mengumumkan akan menerbitkan buku ketiga Pemikiran Bangi yang -penulusannya ditawarkan kepada ilmuan-ilmuan, pemimpin-pemimpin dan tokoh-tokoh berjasa di Bangi.

Sekian.

Ustaz Azhar Idrus Ikon Anak Muda - Kuliah Perdana Di KUIS

KUIS, Bandar Seri Putera, 03 Sya`ban 1433 = 23 Jun 2012 (Sabtu):

Sejak jam 1.00 tengahari kita dimaklumi Kampus KUIS dan Masjid Al-Azhar mulai didatangi kalangan anak muda yang meminati Ustaz Azhar Idrus. Mereka mulai berkampong di Masjid Al-Azhar bersama berjamaah waktu-waktu solat fardu dan sunat dan menolong apa yang patut di dalam menyiapkan persediaan yang patut bagi ceramah Ustaz Azhar pada malam ini. Dari jawapan pertanyaan yang dibuat bahawa golongan muda yang datang ini bukan saja datang dari Sekitar Bangi dan Hulu Langat, tetapi ada yang datang khusus dari Kelantan, Terengganu, bahkan dari Kedah dan Perlis.

Apakah yang membuat golongan muda ini membanjiri Kampus Kuis?

Hadir Adun di Kampus Kuis pada jam 6.30 petang, parking penuh hingga ke luar kampus, bersusun-susun di tepi jalan dan makin ke dalam, makin banyak dengan kenderaan. Walau bagaimana kereta Hilux Adun tidak ditahan dan tidak diminta parking di luar. Sebenarnya sejak pagi tadi Adun dihubungi bertanya sama ada akan hadir atau tidak ke Kuliah Ustaz Azhar pada malam nanti. Mngetahui Adun akan hadir (kami juga sebagai Penaja), no kenderaan Adun diminta. Dan sememangnya sebaik masuk dalam kampus, kereta Adun didahului dua anak muda bermotor hingga berhenti parking betul-betul di tepi masjid. Kami berempat sekereta disambut dan diiringi Imam Imran ke dalam kamar rihat Imam. Kami bercakap dengan beberapa pegawai masjid dan menunggu Maghrib. Kami dimaklumi Ustaz Azhar tiba selepas solat Maghrib.

Sebaik tiba Maghrib kami bergerak ke saf hadapan yang sengaja disekat untuk AJK masjid dan tamu-tamu. Solat Maghrib dipimpin oleh Imam Imran dan selepas selesai doa jamaah menunggu kesampaian Ustaz Azhar. Adun memerhati ke belakang kiri kanan semua ruang penuh, bahkan di ruang .tanah sebelah kanan diberi hamparan bagi jamaah muslimin dan bahagian sebelah kiri bagi jamaah muslimat. Kebanyakan mereka golongan muda lelaki dan perempuan.

Ustaz Azhar tiba terus ke kerusi ceramah. Jangkaan beliau akan bercakap berkenaan tajuk ``Anak Kunci Kejayaan`` sebagai diiklankan di poster dan media, sesuai dengan keberadaan di Kampus Kuis, sebagai panduan kepada pelajar Kuis dan anak-anak muda yang sebahagian besar tentulah dari kalangan pelajar. Namun sebagaimana lepas, pendekatan menurut format yang sama, iaitu pengajaran berdasarkan teks yang digunakan hasil dari karangan beliau. Beliau memulakan pengajaran berdasarkan ayat pertama dari Surah Al-Isra`, iaitu tentang ayat bermaksud:

``Maha Suci (Allah) yang telah menjalankan dengan hambanya (Nabi Muhammad (s.a.w.) pada malam hari dari Masjid Al-Haram ke Masjid Al-Aqsa yang kami berkati kelilingnya bagi Kami memperlihatkannya daripada tanda-tanda kebesaran Kami. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar lagi Maha Melihat.`` ( Al-Isra`: 1).

Walaupun bertolak dari ayat Surah Al-Isra`, nampaknya ianya adalah sebagai tempat bertolak bagi permulaan kuliah sahaja. Daripadanya disentuh berbagai-bagai persoalan. Pada dasarnya perkara yang disampaikan adalah biasa, tetapi di dalam huraiannya ianya sering membawa unsur humor yang menjadikan pendengar tergelak. Kemampuannya mencuit hati pendengar-pendengar inilah yang menjadi tarikan. Contoh beliau menyatakan . Isra` Mi`raj adalah mu`jizat Rasulullah, manakala karamah pada wali. Dua-dua dari kurniaan Allah – Menyalahi adat. `Berjalan atas air bukan karamat, tapi itu labah-labah.` (ketawa), manakala yang memanjat dinding, spiderman (Lagi Ketawa). Contoh ungkapan-ungkapan lain

`Ulama menghafal beribu-ribu Hadith adalah karamah. Ramai yang mau jadi mujtahid, tapi hafal hanya 18 Hadith (Sinis –Gelak).

"Siapa yang rasa pandai bodoh" (Ketawa)

"Siapa yang rasa banyak ilmu jahil,"(Ketawa).

Tawadu` seorang ulama berucap, selepas salam berkata, ``Sesungguhnya saya tidak mengetahui apa-apa..`` Dia pun berhenti dari berucap.(Mengangguk).

``Seorang ulama mengarang beratus buah kitab, bukan macam kita, ``Tanyalah Ustaz!`` (Sinis dan ketawa).

`Mu`jizat dipilih Allah, bukan dipilih dalam pilihan raya dengan banyak poster.` (Sindir tajam– ketawa). `Mu`jizat yang paling besar ialah Al-Quran. Dalam dari segi balaghah, maa`ni dan bayan – Indah bahasa dan mendalam.`` Demikianlah banyak lagi contoh-contoh spontan yang mencuit hati dalam kuliahnya yang memakan masa satu jam setengah, kemudian disambung dengan soalan-soalan semacam `Tanyalah Ustaz!`` memakan masa lebih dari satu jam. Ada lebih 600 soalan dikemukakan. Yang dijawab yang dipilih untuk masa sekadar lebih sejam.

Ustaz Azhar boleh dianggap berani dalam menjawab soalan yang disiarkan secara langsung. Kerana kemungkinan jawapan spontan boleh berlaku kesalahan. Di dalam hal ini beliau menjawab soalan-soalan secara jelas dan yakin, namun dari satu segi menunjukkan kealiman dan kedalaman ilmu beliau. Dalam menjawab soalan-soalan tidak lekang terkeluar dari beliau unsur-unsur humor yang mentertawakan.

Inilah daya tarikan yang ada pada ungkapan-ungkapan yang disampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus.

Selepas ceramah didirikan solat Isyak berjemaah. Sebelum bersurai Adun Bangi sempat menyampaikan kepada Setiausahanya Surat Tempahan Jemputan kepada Ustaz Azhar dengan hadiah buku `Bangi Bandar Ilmu,` Kami menunggu giliran yang akan diberitahu.

Sekian.

Tuesday 1 May 2012

Pengiktirafan & Penghargaan Terhadap Pelajar Cemerlang

BBB,  07 Jamadil Akhir 1433 = 29 April 2012 (Ahad):

Adalah menjadi budaya bagi Bangi Bandar Ilmu mengiktiraf, menghargai & memotivasi pelajar cemerlang pada peringkat SPM juga STPM & STAM setiap tahun berikut dari keputsan peperiksaan dikeluarkan. Penghargaan dan motivasi dilakukan setiap tahun sejak 2008 yang lepas. Sebaik keputusan diumumkan pihak Adun Bangi melalui PAKSI menghimpun maklumat keputusan pelajar-pelajar dari DUN Bangi. Pelajar cemerlang DUN Bangi bererti pelajar-pelajar yang lulus cemerlang dari Sekolah-sekolah di DUN Bangi atau pelajar-pelajar dari Bangi yang belajar di luar dari Bangi, misalnya melalui Maktab Pelajaran MARA di luar dari Bangi atau dari mana-mana Sekolah menengah luar Bangi yang pelajar-pelajar dari Bangi belajar di sana dan mencapai keputusan cemerlang.

Jadi pihak AJK menghimpun maklumat dari Sekolah, ibu bapa, pelajar sendiri. Sebenarnya begitu ramai pelajar yang mencapai kelulusan yang cemerlang di Bangi, sebab itu pengiktirafan dan penghargaan diberi kepada pelajar yang mendapat straight A sahaja dalam semua mata pelajaran.  Sebarang ada matapelajaran yang dicapai bawah dari A di kalangan mata pelajaran yang semua A, maka tidak layak menerima pengiktirafan. Pencapaian nampaknya meningkat dari tahun ke tahun. Misalnya pada tahun 2010 jumlah pelajar yang mendapat semua A dalam semua matapelajaran ialah seramai  70  orang, manakala bagi tahun 2011 pencapaian yang semua mencapai  A ialah 113 orang., namun daripada 113 yang dijemput hadir, hanya 80 orang dari mereka hadir. Tempat yang diadakan Majlis Pengiktirafan & Penghargaan ialah di Dewan Cempaka, Bangunan PKNS BBB.

 

Hadir pada hari ini selain daripada Adun ialah Tuan Haji Mazwan bin Johar Ahli MPKj, Dato` Dr. Haji Halim Tamuri, Datin Muhibbah selaku Pengerusi, ibu bapa dan pelajar-pelajar diraikan . Sebelum daripada Majlis Perasmian dilakukan para pelajar mengikuti ceramah motivasi yang disampaikan oleh Puan Sharifah Fazliah binti Syed Taha sebagai seorang Motivator yang juga seorang Peguam.

Bagi Majlis Pengiktirafan dan Penghargaan, maka majlis bermula dengan ucapan alu-aluan dari Datin Muhibbah selaku Pengerusi sambutan. Menurut beliau, ``Kejayaan Majlis pada pagi ini bergantung pada banyak pihak iaitu sekolah, guru-guru, ibu bapa, ketua kampong dan individu secara berseorangan. Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua yang memberi kerjasama sehingga majlis ini dapat diadakan.. Beliau mengucapkan tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang dan juga kepada guru-guru dan ibu bapa yang berjaya mendidik mereka dengan baik, Beliau juga  menyebut,``Peringkat SPM adalah peringkat penting di dalam melangkah kepada pengajian yang lebih tinggi,`` Beliau berharap kejayaan pada peringkat permulaan ini mendorong kepada kejayaan di dalam berbagai-bagai tahap pendidikan pada masa hadapan.

Adun Bangi dalam ucapan perasmiannya, bersyukur kepada Allah kerana tradisi mengiktiraf dan menghargai pelajar-pelajar cemerlang dapat diteruskan pada tahun ini. ``Tahniah kepada pelajar-pelajar cemerlang, serta tahniah sama kepada guru-guru dan ibu bapa yang sama-sama berperanan mendidik anak-anak cemerlang di dalam peperiksaan. Penghargaan ini adalah sebagai motivasi kepada pelajar-pelajar meneruskan kecemerlangan di dalam bidang-bidang pengajian yang dipilih.`` Tambah Adun, ``Saya percaya pelajar-pelajar telah membuat pilihan masing-masing bidang-bidang yang menjadi pilihan dan cita-cita pelajar dan percaya sebahagian dari pelajar telah menerima tawaran, bahkan ada yang sudah belajar diinstitusi-institusi yang menawarkan tempat belajar pelajar-pelajar.`` Kata Adun, ``Sebagai Adun Bangi dan pelajar-pelajar dari kawasan ini, saya berbangga dengan kejayaan anda sekalian dan seterusnya berjaya di dalam bidang pelajaran yang menjadi pilihan. Kita berharap anda bakal menggantikan kepimpinan dan kerjaya generasi yang mendahului anda dan kelak akan berkhidmat bagi Negara, agama, bangsa dan tanahair.``
Pihak Adun akan terus memberi galakan dan insentif, bukan saja pada peringkat SPM, STPM dan STAM, tetapi penghargaan diberi pada peringkat UPSR, PMR, SRI, SRA yang diadakan secara berterusan sama ada oleh Adun, kampong dan kawasan. Pelajar-pelajar sekalian berperanan menyemarakkan Bangi Bandar Ilmu yang sesuai pula dengan Selangor sebagai hub ilmu. Galakan pada peringkat negeri, hadiah masuk universiti disediakan sebanyak RM1,000 dan kiranya pelajar mau meminjam untuk pengajian, maka kerajaan negeri Selangor menyediakan skim pinjaman tanpa faedah dan sekiranya pelajar mencapai keputusan cemerlang, maka pinjaman akan ditukar menjadi biasiswa. Pelajar adalah bebas memilih universiti atau pengajian tinggi tempatan dan luar negeri, kerajaan negeri sendiri menyediakan pengajian tinggi yang boleh dipohon seperti di UNISEL, KUIS dan sebagainya. Sesungguhnya kerajaan negeri dan Adun sendiri memperuntukkan sebahagian besar dari peruntukan bagi kemajuan pendidikan. Ini merupakan pelaburan jangka panjang bagi kepentingan masa depan baik bagi pelajar, Negara, agama dan bangsa.

Selepas dari perasmian Adun Bangi menyampaikan kepada setiap pelajar Warqah Sijil Pengiktirafan dan sejumlah kewangan. Sejumlah 30 buah buku Bangi Bandar Ilmu diedarkan kepada ibu bapa.
Majlis pengiktirafan dan penghargaan ini seolah-olah sebagai Mini Konvensyen dalam mana pelajar-pelajar bergambar dengan warqah bersama ibu bapa, kawan-kawan dan juga bersama Adun.

Sekian.

Thursday 29 March 2012

Buku Bangi Bandar Ilmu Diedarkan Kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangor

Dewan Negeri Selangor, 03 Jamadil Awal 1433 = 26 Mac 2012 (Isnin):

Buku `Bangi Bandar Ilmu` yang diusahakan penerbitannya sejak pelancaran `Bangi Bandar Ilmu` oleh Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor pada 22 Jun 2008 di KUIS, Bandar Seri Putera, Bangi hari ini al-hamdulillah dapat disiapkan. Usaha dilakukan agar buku ini dapat diedarkan dalam tempoh Sidang Dewan Negeri berjalan (Mesyuarat Pertama (Pembukaan) Penggal Kelima Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan Kedua Belas 19-23 & 26-27 Mac 2012). Penerbitan buku ini mendapat peruntukan Kerajaan Negeri Selangor.

Adun Bangi menghubungi Pengurus Penerbitan saudara Amir Othman dan memintanya bila buku berkenaan siap dicetak, maka beliau dan sdr. Shahrum diminta segera hantar sejumlah yang mencukupi untuk diedarkan kepada ahli-ahli Dewan. Sejumlah 90 buah buku dibawa langsung dari pencetak pagi ini. Usaha bagi menerbitkan buku Bangi Bandar Ilmu dilakukan dengan menghimpun artikal sejak pelancaran Sambutan 30 Tahun Bandar Baru Bangi, kemudian Pelancaran Bangi Bandar Ilmu, kegiatan-kegiatan yang berhubung dengan keilmuan, melengkapkannya dengan institusi-institusi keilmuan – temasuk masjid surau dan tokoh-tokoh ilmuan di Bangi. Usaha melengkapkan kandungan buku ini berterusan hingga akhir tahun 2011.

Buku setebal 430 halaman ini mengandungi 11 bab bermula dengan Prakata dengan Perutusan Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim, diikuti Sekapur Sireh dari Y.B. Dr. Halimah Ali Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi Dan Modal Insan dan Pengantar dari Adun Bangi sebagai penyusun.

Dalam Perutusannya sebagai Prakata permulaan buku ini Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim menyatakan,:

``Saya berasa sukacita sejak saya melancarkan motto ``Bangi Bandar Ilmu`` pada 22 Jun 2008, maka pengisian terus dilaksanakan dengan berbagai kegiatan ilmu.`` Tambah Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor,

``Saya sukacita kerana peranan Bangi Bandar Ilmu diberi perhatian secara teratur melalui Sekretariat Bangi Bandar Ilmu. Saya lebih-lebih bergembira setelah dimaklumkan yang pihak Sekretariat bakal menerbitkan buku-buku termasuklah buku yang mengandungi dokumen pelancaran Bangi Bandar Ilmu. Ia suatu dokumen sejarah, manakala buku-buku yang lain diterbitkan menjadi wadah Ilmu bukan saja bagi masyarakat di Bangi, tetapi juga seluruh masyarakat.``

Y.B.Puan Dr. Hajah Halimah Ali selaku Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Modal Insan dalam Sekapur Sirehnya menyatakan:

``Saya menyokong penuh usaha menjadikan Bangi Bandar Ilmu selari dengan polisi Kerajaan Negeri Selangor menjadikan Selangor sebagai hub ilmu. Bangi sewajarnya menjadi Bandar Ilmu kerana mempunyai begitu banyak institusi ilmu, penyelidikan dan latihan, Sekolah-sekolah dan pusat pendidikan, kehadiran tokoh-tokoh ilmuan yang begitu ramai samaada berkhidmat atau menetap di Bangi dan juga penduduk yang majoriti warga institusi pendidikan tinggi menyemarakkan Bangi sebagai Bandar Ilmu.``

Pada kulit luar bahagian belakang sebagai pengenalan bagi buku Bangi Bandar Ilmu ini tercatat:

Bangi Bandar Ilmu bukan semata slogan, tetapi realiti dan harapan. Cetusan Bangi Bandar Ilmu pertama kali diungkapkan sempena Sambutan 30 tahun usia Bangi pada tahun 2007. Ini diperkukuhkan dengan pengisytiharannya dilakukan oleh Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor di Kolej Universiti Islam Anrtarabangsa Selangor, Bangi pada 22 Jun 2008. Realitinya Bangi Bandar Ilmu, kerana di sini terdapat 18 buah institusi pengajian tinggi, berpuluh pusat penyelidikan dan berpuluh pusat latihan. Lantaran itu Bangi dihuni oleh ilmuan, tenaga pengajar dan pelajar-pelajar. Di samping penduduknya memang berminat dan bergiat dalam bidang keilmuan yang digerakkan melalui masjid dan surau.``

Sejumlah 90 buah Buku Bangi Bandar Ilmu hari ini diedarkan kepada Ahli-Ahli Dewan Negeri Selangoir dan Pegawai-Pegawai yang hadir di dalam Dewan Negeri. Mereka dapat melihat dan menatapnya sebaik masuk ke dalam sidang bagi sesi kedua hari ini mulai jam 2.30 tengahari.

Semasa menggulungkan rumusan berhubung dengan Pendidikan, Pendidikan Tinggi & Pembangunan Insan Negeri Selangor Y.B. Puan Dr. Halimah Exco membawa beberapa penerbitan yang diterbitkan dibawah portfolionya dan buku Bangi Bandar Ilmu yang sampai ke tangannya pada masa itu dikategorikan sebagai salah sebuah buku hasil dari kegiatan yang bersifat ilmu di bawah portfolionya. Beliau memperkenal, menghebah dan menunjukkan buku Bangi Bandar Ilmu kepada Ahli-Ahli Dewan yang pada masa yang sama buku ini sudah sampai ke tangan Ahli-Ahli Dewan Negeri dan Pegawai-Pegawai yang hadir.

Buku Bangi Bandar Ilmu adalah buku sulung diterbitkan oleh Sekretariat Bangi Bandar Ilmu, insya Allah penerbitan buku-buku yang lain akan menyusul.

Sekian.

Tuesday 27 December 2011

Menyuntik Semangat & Mengurangkan Beban Melalui Program `Back To School` Di DUN Bangi - Dorong Ke Arah Kejayaan

Dewan Cempaka PKNS, BBB, 01 Safar = 26 Disember (Isnin):


Sebagaimana pada tahun-tahun yang lepas, demikianlah sudah menjadi tradisi Adun Bangi mengadakan Program Back To School pada setiap akhir Disember bagi membantu anak-anak miskin di Dun Bangi kembali bersekolah. Demikianlah hari ini program berkenaan di adakan di Dewan PKNS, Tingkat Tiga, bangunan berkenaan. Program kali ini dianjurkan oleh Sekretariat Bangi Bandar Ilmu yang Pengarah programnya ialah saudari Nur Sabrina bt. Mohd Arip dengan kerjasama Pewaris dan Nisa` . Program yang berlangsung dari jam 8.30 pagi hingga jam 12.30 tengahari itu di isi dengan Majlis Pembukaan, motivasi oleh Penceramah Jemputan yang disampaikan oleh Encik Ahmad Fuad bin Hj. Che` Abd. Razak dari Asas Insan Resources & Training, Bandar Seri Putera, Bangi. Oleh kerana Adun mempunyai program di tempat lain, maka ceramah motivasi disampaikan terlebih dahulu kepada ibu bapa dan anak-anak yang memenuhi dewan.. Saudara Ahmad Fuad bercakap tentang perlunya anak-anak diberi perhatian dari segi fizikal dengan menjaga makanan yang baik dan jauhi dari makanan tidak halal, perhatian lebih-lebih lagi dari segi mental dengan mendorong mereka rajin membaca dan mencintai ilmu pengetahuan dan menjaga dari segi emosi dan pergaulan. Anak-anak hendaklah ditanamkan sifat positif di dalam minda dan jiwa mereka, agar mereka mampu menghadapi cabaran dan alam keliling dengan penuh keyakinan dan seterusnya mencapai kejayaan.

Dalam ucapan perasmian oleh Adun Bangi, beliau mengucap syukur kepada Allah, kerana pada tahun ini menurut beliau kita dapat mengadakan sekali lagi Program Back To School. Beliau mengucap terima kasih di atas kehadiran anak-anak bersama-sama ibu bapa. Turut hadir Tuan Haji Rushdi bersama AJK Kebajikan. Serta pimpinan & AJK Pewaris dan Nisa`.Dalam ucapannya lagi , Adun menyatakan, ``Back To School adalah program tahunan Adun bagi membantu anak-anak dari keluarga miskin kembali ke Sekolah menjelang bukanya Sekolah awal Januari tahun 2012 nanti. Menurut Adun, ``Kita memberi perhatian yang tinggi dan utama aspek pendidikan di Bangi, diikuti dengan Kebajikan dan Kesejahteraan.``

Menurut Adun , tujuan mengadakan Back To School, ialah bagi membantu dan menggalakkan anak-anak dapat menghadapi pelajaran dengan selesa. Kalau Jom Shopping warga Emas kita peruntukkan sebanyak RM100/= seorang, maka bagi pelajar-pelajar Back To School juga kita beri RM100.00. Adun difahamkan, seramai 85 dari 120 pelajar yang dipaggil dapat hadir. Beliau berharap, terutama kepada ibu-bapa supaya benar-benar menggunakan peruntukan yang diberi Adun bagi kepentingan persekolahan anak-anak.Selain dari peruntukan Back To School, menurut Adun, banyak lagi skim dan insentif yang diberi Kerajaan Negeri Selangor bagi pendidikan seperti, Skim Pelajar Cemerlang, Skim Masuk Universiti, pinjaman kewangan dari Kerajaan Negeri Selangor tanpa faedah dan boleh bertukar kepada biasiswa jika keputusan pencapaian Terpuji. Menurut Adun Bangi, kita berharap pada anak-anak yang mengambil peperiksaan dan dapat mencapai keputusan cemerlang menaikkan imej Bangi Bandar Ilmu. Mereka diharapkan selepas menyambung pelajaran memberi khidmat pada agama, bangsa dan Negara.

Selepas perasmian, Adun Bangi menyampaikan bantuan kepada pelajar-pelajar dan juga ibu bapa yang datang. Majlis diakhiri dengan bergambar beramai-ramai dan jamuan.

Sekian.

Sunday 18 December 2011

SKIM CERIA (Skim Bantuan Baik Pulih Harta Bersama Bagi Pangsapuri) Oleh Kerajaan Negeri Selangor

KONSEP

Kaedah ‘perkongsian kos’ antara Kerajaan Negeri dan pemilik berdaftar / pembeli pangsapuri seperti berikut:

a)    Rumah Pangsa Kos Rendah
       Pembahagian kos :
       -    Kerajaan Negeri                              : 80%
       -    JMB / MC / Persatuan Penduduk    :  20%

b)    Rumah Pangsa Kos Sederhana Rendah & Rumah Pangsa Kos Sederhana
       Pembahagian kos akan diberitahu kemudian. Pembahagian kos :
       -    Kerajaan Negeri                              : 60%
       -    JMB / MC / Persatuan Penduduk    :  40%

KELAYAKAN

a)    Pangsapuri yang mempunyai kerosakan harta bersama yang kritikal.
       Skop Kerja pembaikan yang telah ditetapkan adalah seperti berikut:
        i)    membaiki bumbung
        ii)   pembentungan
        iii)   membaiki lif
        iv)   mengecat bangunan bagi bangunan yang telah luntur cat (kritikal sahaja)
        v)    membaiki/membina rumah sampah
        vi)   sistem pencegahan kebakaran.

b)   Untuk setiap pangsapuri hanya satu (1) jenis harta bersama sahaja yang dibenarkan untuk dibaikpulih.

(c)  Pangsapuri mesti mempunyai  JMB/MC/Persatuan Penduduk.

(d)  Kedudukan kewangan yang memuaskan.

PERMOHONAN
Untuk memohon skim ini pihak JMB / MC / Persatuan penduduk boleh berhubung dengan Unit Pesuruhjaya Bangunan di talian 03-8736 8375 atau email kepada azman_ismail@mpkj.gov.my, atau azhari@mpkj.gov.my, atau nadiah@mpkj.gov.my