Majlis di atas pada malam ini diadakan di Bangi Golf Resort 
dihadiri tamu istimewa Tan Sri Profesor Dr. Kamal Hassan Mantan Rektor 
Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, para-para Penulis Esei dan 
Puisi, Ustaz Shafie Ngah YDP Pas Serdang dan Ahli MPKj, saudara Dr. 
Azizi Omar Pensyarah UKM, Tuan Haji Mohd. Yusof Abdul Kadir Ketua 
Kampong Sungai Ramal Luar, Encik Abdul Latif Manan Ketua Kampong Sungai Ramal Dalam, Encik Azlan Nordin Ketua Kampong Kampong Bahagia Bangi, Tuan Haji Zakaria Bujang Ketua Kampong Bangi, AJK Sekretariat
 Bangi Bandar Ilmu dan para jemputan yang keseluruhan berjumlah 60 
orang. Majlis dikendalikan oleh Juruacara saudara Abu Bakar Alias yang 
mengumumkan pembukaan majlis dengan bacaan doa oleh saudara Azemi Ahmad diikuti dengan jamuan. Selepas jamuan Adun Bangi YB Dr. Shafie Abu Bakar menyampaikan ucapan dan ulasan

Peraduan
 Penulisan Esei dan Puisi dilancarkan sempena tiga tahun Bangi Bandar 
Ilmu (2008-2011). Tarikh tutup peraduan akhir 2011. Hari ini (22 Jun) 
ialah genap 4 tahun Bangi Bandar Ilmu diisytiharkan oleh YAB Tan Sri 
Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim (22.6.2008). Dengan ini diisytiharkan 
tarikh 22 Jun adalah Hari Ilmu Bangi.
Peraduan
 Penulisan Esei pada peringkat tinggi mengenai Bangi Bandar Ilmu 
disertai oleh 13 peserta penulis esei (satu setiap orang) dan 16 peserta
 penulis puisi (ada yang menghantar lebih dari satu puisi). Panel 
bergembira mendapati antara peserta yang menyertai peraduan adalah 
pelajar Malaysia yang sedang membuat ijazah Ph. D.  di Queen University Belfast, UK, pelajar dari universiti di Jordan dan Mesir dan pelajar-pelajar dari UKM, UTM, UIA dan KUIS. Semua peserta adalah lulusan universiti paling minimum ijazah pertama dan sebahagian sedang membuat ijazah lanjutan. Penyertaan bukan saja dari Selangor, bahkan dari berbagai Negeri hingga ke Sabah.
Peraduan Penulisan Esei:
Panel Penilai mengakui: Esei bertajuk: Konsep Bandar Ilmu Di Luar Negara Sebagai Panduan Bagi Bangi Bandar Ilmu. Penulis
 esei ini ialah saudara Azman Maamor yang semasa menghantar esei 
beliau sedang membuat Ijazah Ph.D di Queen University of Belfast, UK.
Kekuatan
 esei saudara Azman ialah dari segi penyelidikan beliau dan rujukan tentang 
Bandar-bandar ilmu di luar Negara yang boleh dijadikan contoh bagi Bangi
 Bandar Ilmu. Beliau menyebut Bandar Ilmu wujud sejak zaman Madinah, kerajaan
 Umawiyyah dan Abbasiyyah yang berpaksikan masjid dan istana. Kegiatan 
penulisan keilmuan dan penghasilan penulisan banyak dilakukan.
Pada zaman Renaissance berlaku, didirikan  University of Paris yang mencirikan Paris sebagai Bandar Ilmu dan berikutnya lahir Universiti Oxford dan Universiti  Cambridge
 yang hingga kini menjadi antara 10 buah universiti terbaik menurut The 
Times Higher Education World University Ranking (Times, 2011-2012). 
Bandar Oxford dan Cambridge adalah dua buah Bandar Ilmu terkenal.
Penulis membicarakan Bandar ilmu moden di Lembah Silikon (Sillicon Valley)
 di California yang berkembang mulai pertengahan abad 20 dengan 
menjadikan universiti sebagai pusat penyelidikan utama.seperti 
Universiti California dan Universiti 
Stanford . Lebih dari pada 70 syarikat bergerak dari sini termasuk 
syarikat-syarikat semi conductor. Bandar ilmu yang lain ialah Route 128 
di Massachusetts. Di sini terdapat Universiti Harvard dan Massachusetts Institute Technology (MIT). Di sini bertempat NASA dan Jabatan Pertahanan Amerika. Kedua-dua Bandar ilmu ini terus bertanding secara sihat mendapat pakar terbaik dan menyediakan tempat selesa di diami.
Di Eropah Bandar ilmu  zaman moden yang muncul ialah di Dublin, Ireland
 dan Stockholm di Sweden yang muncul sejak 1990an dengan pembangunan 
yang pesat, kedua-dua Bandar ilmu menarik pelaburan luar. Kedua-dua 
tempat istimewa dalam bidang komunikasi teknologi tinggi contoh 
Ericcson. Bandar Ilmu  di Australia ialah Bandar Melbourn yang menarik ramai pelajar termasuk dari Malaysia.
Pendekatan
 yang diambil sdr. Azman dengan contoh-contoh Bandar Ilmu di luar Negara
 adalah baik, tetapi tidak dapat memberi pendekatan dan contoh terbaik 
bagi Bandar Ilmu di Bangi. Model dan pendekatan bagaimana harus 
dicadangkan bagi meningkatkan imej Bangi Bandar Ilmu.
Panel
 berpendapat Esei ini layak berkedudukan tempat kedua (hadiah RM4,000) 
dan tiada yang layak tempat pertama (hadiah RM5,000). Penulis Azman 
Maamor kini Pensyarah Sains di Universiti Malaya.
Esei yang menarik perhatian penilai seterusnya ialah berjudul Bangi Bandar Yang Membangun Berpaksikan Pusat Pengajian Dengan Masyarakatnya Berbudaya Keilmuan.
Esei
 ini membicarakan tentang konsep tamadun dan ilmu adalah pemangkin 
kebudayaan dengan menggalurkan tamadun dan perkembangan keilmuan Islam 
dari Baghdad ke Andalusia menghasilkan tokoh dari Ibn Sina, Ibn Rushd 
hingga ke Al-Ghazali, Al Biruni dan Al-Battani. Turut dibicarakan 
tentang Institusi pendidikan keislaman.
Kemudian dibicarakan tentang kategori pendidikan di Malaysia.
 Beliau membicarakan institusi-institusi pendidikan yang ada di Bangi, 
fungsi masjid dan surau dalam memperkembangkan ilmu. Budaya membaca dan 
masyarakat Bangi yang berbudayakan ilmu sebagai pra-syarat bagi 
menjayakan Bangi Bandar Ilmu.
Penulisan
 lengkap dengan rujukan dan nota kaki, namun lebih bersifat menyatakan 
apa yang ada, tetapi harapan bagaimana memperkasakan Bangi sebagai 
Bandar Ilmu tidak dibicarakan secara kreatif dan futuristic. Esei lebih 
memandang kebelakang dan pernyataan realiti kini dan tiada cadangan masa
 depan.
Panel
 memilih esei ini sebagai tempat ketiga (Hadiah RM3,000). Penulis adalah
 Baharum bin Faizan – Pelajar Fakulti Islam Universiti Kebangsaan Malaysia.
Panel memilih 5 buah esei bagi diberi hadiah sagu hati (RM1,000 setiap satu):
1-      Bangi
 Bandar Yang Membangun Berpaksikan Pusat Pengajian Dengan Masyarakat 
Berbudaya Keilmuan oleh Siti Hajar bin Arshad – Pelajar Ijazah Lanjutan 
Universiti Teknologi Malaysia.
2-      Bangi Bandar Ilmu – Oleh Saida Farhana Sarkam. Sedang mengikuti Ijazah Lanjutan di Universiti Utara Malaysia.
3-      Peranan Pelbagai Agensi Institusi di Sekitar Bangi Bagi Membina Imej Bandar Ilmu oleh Ahmad Shafiq bin Razelan (UITM Shah Alam)
4-      Mengisi dan Merealisasikan Bangi Bandar Ilmu. Oleh Maryam bt. Jailani (UIAM).
5-      Memupuk
 Masyarakat Berilmu Di Bangi sehingga menjadi Bandar dan Negara Sempurna
 (Baldah Tayyibah wa Rabbun Ghafur) – Oleh Ahmad Misbah bin Muhammad 
Hilmi (Lulusan Al-Azhar Pensyarah KUIS).
Bahagian Puisi
Seramai 16 pemuisi telah menghantar karya masing-masing. Setelah meneliti kami memilih.
1)      Bangi Mengukur Tamadun
Penulis
 merakam kenangan semasa menuntut di UKM secara alamiah dan intuitif. 
Beliau menghantar harapan tinggi Bangi menjadi Bandar Ilmu terkenal. 
Penyair (Abdulhadi bin Muhammad) adalah penyair terkenal tanahair yang 
pernah memenangi dua kali Hadiah Sastera Malaysia dengan puisi Ruang 
Dalam dan Uirr Charr. Dengan puisi `Bangi Mengukur Tamadun` Panel 
berpendapat Abdul Hadi Muhammad layak menerima Hadiah Pertama bernilai 
RM1,000.
2. Siklus Simfoni Alam
Adalah hasil kreativiti  Penulis Badariah binti Arbin dari Sandakan Sabah.
 Beliau mengungkapkan puisinya secara syahdu kental dengan keimanan di 
dalam mendengar dan menghayati kemerduan ayat-ayat suci Al-Qur`an. Indah
 puisinya dan tersentuh kalbu menghayatinya. Oleh kejauhan tempat 
penyairnya tidak dapat hadir bersama di dalam majlis. Puisi Siklus 
Simfoni Alam berkelayakan menerima Hadiah Puisi Kedua dengan nilai 
RM800.
3. Untaian Kasih
Oleh
 Syarifah Duratul Kameena binti Syed Ahmad Kamil melakarkan pengalaman 
halus dan intuitifnya di dalam mendepani, membaca dan menekuni ayat-ayat
 Al-Qur`an. Dalam suasana kudus dan halus jiwa, beliau memohon hidayah 
dan pertunjuk dari Allah dan syafaat dari Rasulullah yang  diturunkan kepadanya Al-Qur`an. Puisi Untaian Kasih berkedudukan Tempat Ketiga dengan Hadiah RM500.
Lima puisi pilihan untuk Sagu Hati (RM100 setiap satu)
I.                   Menjahit Sayap-Sayap Ilmu oleh Muhammad Aminul Khalil bin Zaini (Ampang Hilir).
II.                Pantun Kecintaan Kepada Allah Dan Rasul oleh Siti Salwa binti Samigin UKM (Bandar Baru Bangi).
III.             Syair Kecintaan Pada Ilmu oleh Ruhaiza bt. Abdullah (Putrajaya).
IV.              Puisi Buat Kekasih Allah oleh Mohd Ferdaus bin Mohd Alwi (Kunak, Sabah – tidak hadir)
V.                 The Happiness  oleh Mohd Hafidz  Md. Samsudi (Taman Seri Kenari, Kajang).
Panel berpuashati dengan penyertaan dan mutu karya-karya dari segi penilaian. Dalam
 majlis pemenang puisi pertama saudara Abdulhadi Muhammad mendeklamasi 
puisinya, manakala saudari Syarifah Duratul Kameena mendeklamasikan 
puisi Untaian Kasih. Saudara Azman Maamor dan saudara Baharum bin Faizan
 menyampaikan ucapan ringkas.
Tan
 Sri Profesor Dr. Kamal Hassan diiringi Adun Bangi sudi menyampaikan 
hadiah-hadiah kepada pemenang dan penerima sagu hati, bahkan 
penulis-penulis yang menyertai pertandingan. Karya-karya
 menang – termasuk sagu hati akan diterbitkan di dalam sebuah buku yang 
dijangka diberi judul "GAGASAN BANGI". Pada malam ini juga Adun Bangi 
mengumumkan akan menerbitkan buku ketiga Pemikiran Bangi yang 
-penulusannya ditawarkan kepada ilmuan-ilmuan, pemimpin-pemimpin dan 
tokoh-tokoh berjasa di Bangi.
Sekian.

No comments:
Post a Comment